suria

Nur Suryani Raih Perak Di Kejohanan Menembak Piala Dunia

KUALA LUMPUR: Penembak negara, Nur Suryani Mohd Taibi mencatat sejarah apabila meraih pingat perak dalam acara 10 meter Air Rifle wanita di kejohanan Piala Dunia yang berlangsung di Sydney, Australia, hari ini.

Kemenangan itu menjadikan Nur Suryani, 27, sebagai penembak pertama negara yang berjaya memperoleh pingat dalam kejohanan Piala Dunia.

Beliau berjaya mengumpul sebanyak 103.8 mata pada pusingan akhir untuk mengumpul mata keseluruhan 499.8 mata.

Pingat emas menjadi milik Katerina Emmons dari Republik Czech yang berjaya memperoleh 104.1 mata pada hari terakhir dengan kutipan keseluruhan 503.1 mata manakala gangsa dimenangi oleh penembak Amerika Syarikat, Jamie Beyerle.

Nur Suryani, penembak kelahiran Perak yang berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), gagal memenangi sebarang emas pada Sukan SEA di Laos tahun lepas.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM), Mejar Jasni Shaari menyifatkannya sebagai satu kejayaan besar bagi sukan menembak negara.

"Diharap kejayaan hari ini adalah satu petanda positif yang membuktikan bahawa penembak kita mempunyai kemampuan di peringkat antarabangsa dan saya harap kejayaan ini akan berterusan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Jasni berkata, Nur Suryani bersama sembilan lagi penembak dijadual pulang ke tanah air pada Ahad ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Kedudukan Liga Sepanyol

Artikel Berikut

Artikel Lain