suria

Kuala Lumpur Juarai Kejohanan Hoki Bawah 16 Tahun Kebangsaan

SANDAKAN: Pasukan Kuala Lumpur menjuarai Kejohanan Hoki Bawah 16 Tahun Kebangsaan untuk tiga tahun berturut-turut selepas menewaskan Perak 4-3 dalam perlawanan akhir di Kompleks Sukan Sandakan hari ini.

Kemenangan itu membuktikan kemampuan Kuala Lumpur selaku pasukan pilihan, biarpun mendapat saingan sengit dari Perak sejak dari awal permainan hingga ke wisel penamat.

Gol Kuala Lumpur dijaringkan oleh Mohd Shahril Saabah pada minit 23, diikuti Muhamad Md Nor (32 dan 59) dan Zizi Azwan Hassan Basri (36).

Gol Perak pula dijaringkan oleh Shahrusahadan Basri pada minit ke-30, Mohamad Ashran Hamsani (46) dan Muhamad Fitri Ismal (61).

Negeri Sembilan pula muncul di tempat ketiga dan Selangor tempat keempat.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Pengurus pasukan Kuala Lumpur, Abdul Rahman Mohad Sharif berkata strategi yang dirancang pasukannya dalam perlawanan itu ternyata berhasil biarpun mendapat saingan sengit dari pasukan Perak.

Katanya strategi yang dirancang untuk mendahului jaringan telah membangkitkan semangat kepada pemain untuk memberi persembahan terbaik dan memenangi perlawanan akhir.

"Biarpun pemain tidak bermain secara konsisten dalam kejohanan ini, tetapi tahap permainan mereka diperbaiki di setiap perlawanan hinggalah ke perlawanan akhir ini," katanya.

Beliau turut berharap berdasarkan persembahan cemerlang pasukannya, ramai pemain dari skuad itu akan terpilih untuk mewakili pasukan hoki bawah 16 tahun kebangsaan bagi bertanding di Jerman pada bulan Mei ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain