suria

Lebih 120 Pelumba Basikal Sertai Kejohanan Piala Gabenor Melaka

MELAKA: Kejohanan lumba basikal Piala Gabenor Melaka 2010 pada 24 dan 25 April ini, bakal menarik penyertaan lebih daripada 120 pelumba dalam dan luar negara.

Setiausaha Persatuan Berbasikal Negeri Melaka (PBNM), Menhat Abd Rahman berkata, sebanyak 20 pasukan dari dalam dan luar negara dijangka mengambil bahagian dalam kejohanan dwi-tahunan itu.

Selain daripada pasukan Malaysia, pasukan dari Brunei, Thailand, Indonesia dan pasukan bertaraf benua Le Tua Cycling Team dari Malaysia dan Poligon dari Indonesia telah mengesahkan penyertaan mereka, katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Menhat berkata, di samping pasukan Melaka, 11 pasukan negeri telah mengesahkan penyertaan sebagai persediaan untuk mereka menghadapi Sukan Malaysia Ke-13 (SUKMA) di Melaka, Jun ini.

Beliau berkata, kejohanan itu adalah untuk pelumba berumur lebih 19 tahun.

Kejohanan itu juga katanya melibatkan dua peringkat iaitu peringkat pertama pada 24 April meliputi laluan sejauh 170km dari Bukit Serindit di sini ke Pekan Masjid Tanah kemudian ke Durian Tunggal sebelum kembali semula ke Bukit Serindit.

"Peringkat kedua pada 25 April meliputi laluan sejauh 120 km dari Ayer Leleh ke Sungai Rambai kemudian ke Umbai sebelum berakhir di Bukit Serindit.

"Kita lihat perserta yang bertanding kali ini adalah dari peringkat antarabangsa maka kita nak dedahkan pelumba tempatan dengan pelumba antarabangsa," tambahnya, hadiah akan diumumkan kemudiaan.

Kejohanan itu dianjurkan oleh PBNM dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Kerajaan Negeri Melaka dan Majlis Sukan Negeri Melaka.

"Kita harap kejohanan ini dapat mempromosi Melaka ke arah negeri pelancongan dan negeri maju tahun ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain