suria

Selangor Juara Keseluruhan Kejohanan Ping Pong Remaja 2010

KUALA LUMPUR: Pasukan Selangor ternyata unggul apabila menjadi johan keseluruhan bagi Kejohanan Ping Pong Remaja Malaysia Milo ke-30 yang diadakan di sini hari ini.

Selangor menduduki tempat pertama keseluruhan daripada 14 pasukan dengan mengutip 13 pingat iaitu lapan emas dan lima gangsa, sementara Kuala Lumpur menduduki tempat kedua dengan mengutip tujuh pingat (satu emas, dua perak dan empat gangsa) dan Sarawak di tempat ketiga dengan tujuh pingat (empat perak dan tiga gangsa).

Pada hari terakhir kejohanan yang diadakan di dewan Sek Men Confucian, Jalan Hang Jebat hari ini, Selangor memenangi acara beregu bawah 15 tahun lelaki dan wanita, serta bawah 17 tahun wanita.

Pasukan Selangor dalam acara beregu bawah 15 tahun lelaki yang dianggotai oleh Foo Dunley dan Sung Eng Jen mudah menewaskan lawan mereka, Low Yau Chung dan Leong Jie Wei dari Putrajaya 3-1.

Manakala dalam acara bawah 15 tahun wanita pula, Lee Rou You dan Lim Ja Ja menewaskan Ting Ying Hii dan Kylie Teo Liyi dari Sarawak, 3-0 bagi memenangi beregu bawah 15 tahun wanita.

Selangor juga memenangi acara perseorangan bawah 15 tahun lelaki dan wanita apabila Foo Dunley menewaskan lawannya dari Putrajaya, Leong Jie Wei, 4-0 bagi acara lelaki, manakala Lee Rou You menewaskan Chew Su Ting dari Melaka, juga 4-0 bagi acara wanita.

Bagi acara bawah 17 tahun perseorangan lelaki pula, Chee Kien Ee dari Putrajaya menewaskan Goh Nai Ngee dari Kuala Lumpur, 4-3 dan dalam acara perseorangan wanita pula, Sheryn Shi Yee dari Sarawak tumpas kepada Liew Yong Xuan, 4-1 dari Perak.

Sebelum ini, dalam acara berpasukan, Selangor memenangi acara bawah 17 tahun wanita, serta bawah 15 tahun lelaki dan wanita pada Selasa lepas.

Ketua kontinjen pasukan Selangor, Tan Chin Siea ketika ditemui berkata beliau melahirkan rasa gembira dan bersyukur di atas kemenangan pasukan Selangor dalam kejohanan ini.

"Saya merasa amat bangga dengan kejayaan pasukan Selangor menjuarai kejohanan ini, dan saya berharap agar kejayaan ini dapat dikekalkan pada kejohanan akan datang," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain