suria

Presiden Persatuan Kriket Malaysia Digesa Letak Jawatan

JOHOR BAHARU: Sekumpulan anggota gabungan yang tidak berpuas hati, hari ini mendesak supaya Presiden Persatuan Kriket Malaysia Tunku Imran Tuanku Jaafar meletak jawatan segera.

Mereka mahu supaya tokoh yang menerajui kriket sejak 19 tahun lepas itu supaya mengosongkan jawatan berkenaan bersama-sama dengan Setiausaha persatuan, Sivanandan Chinadurai kerana kecewa dengan cara persatuan itu diuruskan sejak akhir-akhir ini.

Kumpulan itu yang diketuai oleh Presiden Persatuan Kriket Melaka Mohd Ridzuan Mani mengadakan mesyuarat di sini hari ini dan kemudian mengeluarkan kenyataan, antara lain, menggesa Presiden dan orang kanannya supaya berundur.

"Kami sudah tidak tahan lagi dengan kepimpinan beliau (Tunku Imran). Sudah tiba masanya untuk beliau melepaskan jawatan dan menyerahkan kepimpinan Persatuan Kriket Malaysia (MCA) kepada orang lain. Sivanandan juga mesti pergi.

"Sudah terlalu lama kami meletakkan kepercayaan kepada kepimpinan beliau dan beliau tidak menunjukkan kualiti yang diperlukan untuk memacu persatuan ini ke arah yang lebih baik," kata Mohd Ridzuan.

Antara rungutan mereka ialah:

* Penyalahgunaan kuasa di peringkat tertinggi apabila keputusan perlu dibuat;

* Kurangnya kejayaan pasukan kebangsaan di persada antarabangsa;

* Isu Kinrara Oval, yang menempatkan pejabat MCA di mana dianggarkan RM150,000 perlu dibelanjakan setiap tahun;

* Kekosongan dalam Jawatankuasa Eksekutif tidak diisi; dan

* Kurangnya pembiayaan untuk mengendalikan persatuan itu.

"Apa yang kami bincangkan bersama hari ini adalah isu yang sepatutnya ditangani oleh kepimpinan MCA sejak dulu lagi. Bagaimanapun, disebabkan mereka mementingkan diri sendiri dan tidak menimbangkan pandangan anggota gabungan, MCA kini berdepan masalah," kata Mohd Ridzuan.

Kumpulan itu mendakwa telah mendapat sokongan sekurang-kurangnya tujuh daripada 14 anggota gabungan dalam kalangan MCA dan lima undi lagi daripada 10 anggota jawatankuasa eksekutif.

"Kami berkeyakinan bahawa beberapa lagi anggota gabungan akan menyertai kami sebaik sahaja kami menjelaskan kedudukan semasa MCA kepada mereka," kata Mohd Ridzuan.

Pemilihan MCA dijadual diadakan Mac tahun depan. - BERNAMA

Artikel Lain