suria

Golf: Malga Pertaruh Tiga Srikandi Ke Hamilton

KUALA LUMPUR: Persatuan Golf Wanita Malaysia mempertaruhkan tiga pemain elitnya untuk bertanding di Kejohanan Golf Piala Ratu Sirikit di Hamilton, New Zealand dari 3 hingga 10 April ini.

Setiausaha Kehormatnya, Rabeahtul Aloya Abbas berkata MALGA telah memilih tiga pemain terbaiknya iaitu Aretha Pan, Nurul Shira Saparudin dan Yong Mei Khuan untuk menggalas cabaran itu.

"Kejohanan ini merupakan satu pendedahan bagi mereka dan saya harap mereka dapat mempelajari sesuatu di Hamilton nanti," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Rabeahtul Aloya yang juga kapten bagi pasukan golf wanita ke Hamilton, berkata sebelum mengikuti Kejohanan Golf Piala Ratu Sirikit, ketiga-tiga pemain itu terlebih dahulu akan mengikuti kejohanan Golf Tertutup MALGA dari 23 hingga 25 Mac ini.

Beliau berkata 90 pemain golf tempatan telah mendaftarkan diri untuk menyertai kejohanan yang akan berlangsung di Kajang Hill Golf & Country Club itu.

"Saya rasa amat bangga kerana menerima banyak penyertaan dan ini menunjukkan bahawa wanita semakin meminati sukan golf," katanya.

Rabeahtul Aloya berkata MALGA berharap lebih ramai bakat baru dapat dicungkil menerusi pertandingan yang berlangsung selama dua hari itu. - BERNAMA

Artikel Lain