suria

Peserta Remaja Mak Dan Krishna Rangkul Gelaran Terbuka Masters

PETALING JAYA: Peserta Hong Kong, Michael Mak dan Krishna Darshini dari Singapura masing-masing menjuarai acara terbuka Masters remaja lelaki dan wanita pada Kejohanan Boling Antarabangsa Terbuka Malaysia Canon ke-33 di sini hari ini.

Mak, yang berusia 16 tahun itu, mengumpul 2,207 jatuhan pin untuk menjuarai acara itu diikuti oleh peserta skuad pelapis kebangsaan Ahmad Muaz Mohd Fishol yang mengumpul 2,091 jatuhan pin.

Mak menerima hadiah wang tunai RM4,000 manakala Ahmad Muaz, selaku naib juara, pula membawa pulang RM3,000.

Ahmad Muaz, 17, dari Sungai Petani, Kedah, berkata beliau berpuas hati dengan pencapaian itu dan akan meneruskan latihan bagi menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) di Melaka pada Jun ini.

Sementara itu, Krishna Darshini mengumpul 2,159 jatuhan pin untuk merangkul gelaran tersebut diikuti oleh peserta senegaranya Fok Ka Wai yang mencatatkan 2,150 jatuhan pin.

Peserta kebangsaan Puteri Nadia Kamarul Mahadir menafikan peserta Singapura daripada menguasai kedudukan teratas dengan menduduki tangga ketiga dengan catatan 2,058 jatuhan pin. - BERNAMA

Artikel Berikut

Jadual Liga Inggeris

Artikel Lain