suria

Piala Razak: T'ganu Tidak Turunkan Pasukan Utama

KUALA TERENGGANU: Persatuan Hoki Lelaki Terengganu (PHLT) berani mengambil risiko dengan tidak menyenaraikan pasukan utama mereka serta tiga pemain kebangsaan bagi menyertai Kejohanan Hoki Piala Razak di Kuantan, Pahang 24 Mac ini.

Setiausaha PHLT, Sabri Salleh berkata keputusan itu dibuat bagi membolehkan pihaknya menurunkan pasukan hoki Sukma (Sukan Malaysia) bagi memberi peluang kepada pemain menguji kemampuan di kejohanan Piala Razak.

"Tiga pemain kebangsaan juga tidak akan disenaraikan dalam pasukan kita kali ini. Namun kita tetap memberi peluang kepada mereka untuk mewakili pasukan lain walaupun mereka menunjukan minat untuk beraksi dengan Terengganu.

"Selain itu, ia untuk membolehkan kita menguji pemain Sukma kita," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Tiga pemain hoki kebangsaan tersebut ialah Chairil Anuar Abdul Aziz, Mohd Shahrul Nabil Abdullah dan Engku Abdul Malik Engku Mohamad.

Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa pasukan yang diberikan tugas menggalas cabaran di kejohanan Piala Razak mampu memberikan saingan kepada pasukan lain.

Pencapaian terbaik Terengganu dalam kejohanan itu ialah apabila muncul naib juara divisyen dua tahun 2005.

"Ia merupakan tahun terakhir Terengganu menyertai kejohanan itu sebelum kita menyertainya semula tahun ini selepas lima tahun tidak menyertainya," katanya.

Beliau berkata seramai 25 orang pemain telah disenaraikan dan Terengganu kini sedang giat mengadakan latihan sebagai persediaan untuk menghadapi kejohanan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain