suria

Nicol Sudah Bersedia Untuk Rampas Kembali Kejuaraan Terbuka KL

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy wanita nombor satu dunia Datuk Nicol Ann David dilihat sudah cukup bersedia untuk memberikan yang terbaik buat peminat tempatan di Kejohanan Terbuka Skuasy Kuala Lumpur yang akan bermula esok.

Setelah menampilkan aksi mantap pada musim baru Kejohanan Terbuka Chennai di India awal bulan ini, ratu skyasy negara itu kini sudah tidak sabar lagi untuk merebut gelaran juara Terbuka Kuala Lumpur, selepas gelaran itu terlepas ke tangan Natalie Grainger, apabila pertembungan peringkat akhir antara mereka tahun lepas menyaksikan kemenangan berpihak kepada pemain dari Amerika Syarikat itu.

Katanya tahun ini dengan latihan yang gigih, beliau berjaya menampilkan aksi mantap dalam kejohanan di Chennai, dan beliau berhasrat untuk membawa momentum kemenangan itu ke Kuala Lumpur.

"Tahun lepas sudah berlalu, tahun ini menyaksikan suasana yang berbeza sama sekali. Saya belajar dari peristiwa lepas, banyak yang saya lakukan sepanjang tahun lepas sehingga sekarang," katanya ketika ditemui di majlis penyampaian cek penajaan di Bangunan Auditorium CIMB, di sini Selasa.

Katanya banyak yang dipelajarinya untuk meningkatkan lagi persembahan menerusi latihan dengan Sarah Fitzgerald di Australia dan Irving Liv di Amsterdam.

CIMB Group yang menjadi penaja Nicol sejak tahun 2006, turut mengumumkan keputusannya melanjutkan penajaan buat Nicol untuk tempoh dua tahun lagi, iaitu sehingga 2012.

Pengumuman ini dibuat sempena dengan keputusan CIMB Group buat kali kelima berturut-turut menaja Terbuka Kuala Lumpur.

Nicol berkata setiap tahun cabaran yang dihadapi bertambah sukar, namun menurutnya beliau memang sukakan cabaran, kerana banyak yang boleh dipelajari daripada pemain-pemain baru menerusi cabaran mereka.

Nicol akan berhadapan dengan pemain bukan pilihan dari New Zealand, Jaclyn Hawkes dalam perlawanan pembukaan esok.

Selain Nicol, kejohanan tahun ini menjanjikan persembahan bertaraf dunia, dengan penyertaan Ramy Ashour dari Mesir, yang merupakan pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia, akan menyertai pertandingan.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, pusingan pendahuluan dan pusingan pertama akan diadakan di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil sementara perlawanan suku akhir akan diadakan di sebuah gelanggang kaca di ruang Concourse Berjaya Times Square di sini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain