suria

Terengganu Kejar Selangor Untuk Terajui Liga

KUALA LUMPUR: Pasukan di tangga kedua Liga Super, Terengganu terus mengejar pendahulu Selangor selepas mengutip tiga mata lagi dengan menumpaskan Pahang 2-0 pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di Kuala Terengganu malam ini.

Terengganu kini mengutip 20 mata daripada sembilan perlawanan, kurang tiga mata daripada Selangor yang telah pun mengharungi 10 perlawanan.

Gol-gol Terengganu dijaringkan oleh Zairo Anuar Zailani pada minit ke-45 dan Marzuki Yusof pada min ke-67.

Di Pulau Pinang, Johor FC berpesta gol dengan membelasah Pulau Pinang 5-0 di Stadium Batu Kawan.

Gol-gol pasukan pelawat dijaringkan oleh Mohd Izuan Jarudin (min ke-45), Nurul Azwan Roya (min ke-51, 61), Zulhisyam Jamaluddin (min ke-74) dan Mohd Safuan Ibrahim (min ke-90).

Kemenangan malam ini membolehkan Johor FC kini berada di tangga ketiga liga dengan mengutip 19 mata, meninggalkan Kelantan yang sebelum ini berada di kedudukan tersebut dengan 16 mata, dengan jumlah perlawanan yang sama.

Di Johor Baharu, Johor menang tipis 1-0 ke atas KL Plus di Stadium larkin.

Di Ipoh, tuan rumah Perak menumpaskan T-Team 3-0 pada perlawanan di Stadium Ipoh.

Gol Perak dijaringkan oleh Wan Azwari Wan Noh (min ke-11) sementara Mohd Saufi Saadi menyumbangkan dua gol pada min ke-41 dan min ke-90.

Di Alor Setar, tuan rumah Kedah tewas 0-1 kepada Negeri Sembilan pada perlawanan di Stadium Darulaman, hasil jaringan Norizam Salaman, seminit sebelum tamat perlawanan.

Di Kangar, Kuala Lumpur menumpaskan Perlis 2-0 pada perlawanan di Stadium Utama.

Gol pasukan pelawat dijaringkan oleh Azidan Sarudin (min ke-27) dan Mohd Badrol Hisham Azmi (min ke-32). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain