suria

Felda United Makin Selesa Di Persada Liga Perdana

KUALA LUMPUR: Felda United terus kekal selaku pendahulu liga selepas menumpaskan pasukan di tangga kedua, Selangor PKNS 1-0 pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam tadi.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Khairul Izwan Khalid pada minit ke-18, sekaligus memberikan pasukannya tiga mata.

Kelebihan tiga mata membolehkan Felda United semakin selesa di persada liga selepas kedua-dua pasukan sebelum ini terikat dengan 19 mata selepas enam perlawanan namun kelebihan jaringan Felda United membolehkannya menjadi pendahulu.

Di Melaka, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membelasah Harimau Muda 4-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hang Tuah.

Gol-gol PDRM dijaringkan oleh Khairul Izwan Abdullah (minit ketujuh), Mohd Fauzi Abd Majid (minit ke-11), Mohd Afis Aminuddin (minit ke-58) dan Abdul Rayjal Abd Jalil (minit ke-86) sementara gol Harimau Muda dijaringkan oleh Muhd Serris Daniel Mat Nasir (minit ke-79). Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Tentera menundukkan Pos Malaysia 4-1.

Di Kuantan, Shahzan Muda gagal memanfaatkan peluang bermain di halaman sendiri selepas tewas 1-2 kepada Sarawak pada perlawanan yang berlangsung, di Stadium Darul Makmur.

Skuad Bujang Senang membuka tirai jaringan pada minit ke-16 menerusi sepakan percuma Mazwandi Zakeria sebelum Abg Mohamad Za Afari Abg Othman melebarkan jurang pada minit ke-41.

Tuan rumah yang dibimbing oleh Tajudin Nor hanya mampu memperolehi gol saguhati pada minit ke-68 menerusi sepakan penalti R.Tharumarajah.

Di Kota Kinabalu, Sabah menewaskan Pulau Pinang USM FC 2-0 di Stadium Likas. Gol pertama dijaringkan oleh Mohd Farid Ideris pada minit keempat, manakala gol kedua diperolehi menerusi Muhd Azizan Md Arshad pada minit ke-15.

Sementara itu, perlawanan tunggal Liga Super malam tadi menyaksikan tuan rumah, Kelantan terikat tanpa jaringan dengan Selangor pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed ke-1V, Kota Baharu.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain