suria

Kejohanan Golf Piala Dr Mahathir Di Langkawi Ogos Ini

LANGKAWI: Kejohanan Golf Piala Dr Mahathir akan dianjurkan di pulau lagenda ini pada Ogos ini sebagai usaha mempromosikan Langkawi sebagai destinasi sukan golf.

Kejohanan anjuran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) cawangan Kedah itu akan diadakan pada 7 Ogos di Kelab Golf Datai di sini.

Pengerusi Matta Kedah, Pishol Ishak berkata, piala bagi kejohanan itu disumbangkan sendiri oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selain bagi menarik kedatangan pelancong ke pulau peranginan itu, kutipan daripada kejohanan tersebut akan disumbangkan kepada Tabung Rakyat Palestin, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pemain negara jiran seperti Brunei, Singapura dan Thailand akan diundang bagi memeriahkan kejohanan yang julung kali dianjurkan itu, katanya.

Katanya, pemain akan dikenakan bayaran penyertaan antara RM300 dan RM350 seorang termasuk cenderamata dan menjangka dapat mengumpul RM100,000 daripada yuran penyertaan dan penajaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain