suria

Lotus Racing Sedia Untuk Cabaran Pertama Di Bahrain

KUALA LUMPUR: Walaupun hanya berusia enam bulan, pasukan F1 Malaysia, Lotus Racing, sudah bersedia mengharungi cabaran musim pertamanya di Litar Sakhir dalam Grand Prix Bahrain hujung minggu ini.

Pasukan yang dimodali tiga tokoh perniagaan negara terdiri Datuk Seri Tony Fernandes, Datuk Kamarudin Meranum dan S.M. Nasarudin S.M Nasimuddin itu, meletakkan harapan pada dua pemandunya Jarno Trulli dan Heikki Kovalainen.

"Kita berharap dapat mengutip mata tetapi secara realistiknya ini amat sukar," kata Trulli.

Ketua Pegawai Teknikal, Mike Gascoyne, pula berkata sesi ujian yang telah dilalui oleh pasukan itu amat produktif khususnya daripada segi daya tahan enjin T127 dan ini membuatkan pasukan merasa yakin dalam perlumbaan pertamanya nanti.

Fernandes berkata semua pihak yang terlibat dengan pasukan itu amat teruja menjelang perlumbaan itu.

"Mungkin kita tidak sepantas pasukan-pasukan ternama tetapi dengan semangat, kerja keras dan tujuan yang satu, lambat laun kita akan berjaya," katanya.

Lotus Racing, yang buat sementara ini berpangkalan di Norfolk, England, menghantar 60 petugasnya ke Bahrain, yang merupakan gelanggang pertama daripada 19 perlumbaan F1 musim ini.

Perlumbaan kedua ialah di Australia pada 28 Mac diikuti Malaysia pada 4 April. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Liga Sepanyol

Artikel Lain