suria

Noh Seugyul Juara Goh Terbuka Malaysia 2010

KUALA LUMPUR: Birdie pada lubang terakhir membantu pemain Korea Selatan Noh Seung-yul untuk muncul juara termuda pada kejohanan Golf Terbuka Malaysia selepas berakhirnya kejohanan itu di Kuala Lumpur Golf & Country Club, Bukit Kiara di sini hari ini.

Beliau menjadi pemain Korea kedua muncul juara pada Terbuka Malaysia selepas menamatkan aksi pusingan akhir dengan keseluruhan 274 pukulan, 14 di bawah par.

Pemain berusia 18 tahun itu memastikan kejayaan dengan kelebihan satu pukulan ke atas rakan senegara K.J. Choi.

Pada pusingan akhir hari ini, Noh melakukan lima birdie berbanding satu bogey untuk 68 pukulan, empat di bawah par, bagi menjadikan pukulan keseluruhan selama empat hari 14 di bawah par.

Noh, yang membawa pulang AS$333,330 (RM1,120,155) atas kejayaan itu, menerima trofi daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ini lebih istimewa berbanding kemenangan pertama saya. Dalam kejohanan ini, bertanding dengan pemain handalan di dunia dan menundukkan lawan, sesuatu yang saya nanti-nantikan.

"Apabila K.J. Chooi melakukan birdie pada lubang terakhir dan kedudukan menjadi sama, saya fikir kalau dapat par, saya dapat bermain dalam perlawanan penentuan dan kalau saya kalah dalam perlawanan penentuan, taklah kecewa sangat. Saya juga akan gembira kalau dia menang kerana kami dari negara yang sama," kata Noh. Choi, seorang pemain berpengalaman, yang merupakan juara Terbuka Iskandar Johor Oktober tahun lepas, menyatakan rasa kagum dengan rakan senegaranya yang masih muda.

Katanya Noh adalah bintang sebenar dalam pembikinan dan mempunyai masa depan yang cerah untuk menguasai sukan golf.

"Saya tak kecewa langsung (kalah kepada Noh). Saya beraksi baik dan melakukan yang terbaik. Saya tabik Seung-yul kerana beraksi baik dengan prestasi menakjubkan," kata Choi, yang mengakhiri cabaran hari ini dengan 69 pukulan, tiga di bawah par.

"Saya gembira permainan saya sekarang sudah meningkat dan banyak yang perlu dihadapi. Kedudukan pin adalah sukar tetapi saya dapat kekalkan permainan saya. Noh bermain dengan baik dan saya tak boleh cakap banyak," katanya.

Sementara itu, pemain golf muda dan berbakat Thailand Kiradech Aphibarnrat, yang memburu kejuaraan pertama dalam Jelajah Asia, menduduki tempat ketiga, berkongsi kedudukan dengan Soren Hansen dari Denmark dan Rhys Davies dari Wales, dengan keseluruhan 276 pukulan, 12 di bawah par. -BERNAMA

Artikel Lain