suria

Lebih 500,000 Di Jangka Kunjungi Melaka

KUALA LUMPUR: Melaka mensasarkan lebih 500,000 peminat sukan dari pelusuk tanah air akan memenuhi venue-venue temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 yang akan berlangsung di negeri itu pada Jun depan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata melalui pelbagai program promosi agresif yang dianjurkan diseluruh negara ketika ini, sasaran untuk menarik sekurang-kurangnya 50,000 pegunjung sehari di sepanjang 10 hari temasya sukan itu mampu dicapai.

Sukma ke-13 akan berlangsung dari 10 hingga 19 Jun tahun ini melibatkan 33 acara. Ia bakal disertai 9,000 atlet mewakili 15 kontinjen, termasuk Brunei.

"Larian baton Sukma ke-13 telahpun bermula Ahad lepas yang melibatkan kesemua 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka. Jadi saya harap program ini dan banyak lagi program-program lain akan dapat meningkatkan semangat Sukma di kalangan rakyat Melaka dan juga rakyat Malaysia," katanya.

Mohd Ali berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat dan menyerahkan kad jemputan rasmi Sukma kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di sini hari ini.

Kesemua pembangunan fizikal di Kompleks Sukan Hang Jebat, yang akan menjadi venue utama Sukma, telah siap mengikut jadual manakala gelanggang petanque, yang baru 60 peratus siap, akan siap sepenuhnya penghujung Mac, katanya.

Raja Nong Chik dalam ucapannya pula berkata Wilayah Persekutuan mensasarkan kedudukan ketiga keseluruhan pada Sukma di Melaka dengan pungutan pingat sekurang-kurangnya 40 emas.

Beliau berkata Wilayah Persekutuan akan menyertai 33 jenis sukan yang dipertandingkan dengan jumlah keseluruhan atlet adalah seramai 586 orang serta 200 orang pegawai dan urusetia, menjadikannya antara kontinjen terbesar yang menyertai kejohanan dwitahunan itu. - BERNAMA

Artikel Lain