suria

Persatuan Baru Ganti Persatuan Sepak Takraw N.Sembilan Yang Dibatal Pendaftaran

SEREMBAN: Sebuah jawatankuasa penaja telah dibentuk bagi memberi laluan kepada penubuhan persatuan baru untuk menggantikan Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (PSTNS) yang telah dibatal pendaftarannya oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia baru-baru ini.

Bekas Ahli Jawatankuasa PSTNS, Norsal Mohd Tisan berkata Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) menyokong penubuhan persatuan sepak takraw Negeri Sembilan yang baru ini setelah berkuburnya PSTNS.

"Nama persatuan baru ini akan diputuskan pada mesyuarat jawatankuasa penaja malam ini," katanya.

Beliau berkata penubuhan persatuan yang baru perlu disegerakan bagi membolehkan Negeri Sembilan menyertai Kejohanan Piala Emas Khir Johari di Kuala Lumpur mulai 20 hingga 22 Mac ini.

Mengulas mengenai pembatalan PSTNS, Norsal berkata beliau dan beberapa bekas ahli jawatankuasa merasa amat kecewa setelah persatuan itu bergerak aktif sekian lama.

"PSTNS begitu sinonim dengan penganjuran Kejohanan Sepak Takraw Jemputan Antarabangsa bagi merebut Piala Isa yang diadakan setiap tahun semasa Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain