suria

Adiq Tekad Rampas Jersi Biru Di Genting Highlands

MERSING: Pelumba berbakat negara, Adiq Husainie Othman bertekad untuk merealisasikan impian meraih jersi biru selaku pelumba terbaik Asia apabila tiba di peringkat keenam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010 dari Putrajaya ke Genting Highlands, Sabtu ini.

Pelumba berusia 19 tahun itu berkata pendakian ke puncak Genting Highlands itu mungkin merupakan peluang terbaiknya untuk meraih jurang masa sekali gus memastikan jersi hijau kekal menjadi miliknya.

"Pasukan yang saya wakili iaitu Drapac Porsche Cycling dari Australia mempunyai barisan pelumba yang mempunyai kepakaran pendakian," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlumbaan peringkat ketiga yang berakhir di Mersing, Johor, petang ini.

Adiq berkata selepas ini untuk peringkat berikutnya beliau akan cuba untuk mengekalkan aksi konsisten dan berada di kelompok utama sebelum cabaran sebenar di Genting Highlands.

"Prestasi saya pun belum mencapai tahap sepenuhnya dan akan cuba untuk meningkatkannya," katanya yang mahu dihormati dan dikenali sebagai atlet untuk acara trek dan lebuh raya dalam masa dua tahun.

Jersi biru kini dipegang oleh seorang lagi pelumba negara, Anuar Manan sejak peringkat pertama lagi yang kini mewakili pasukan dari Korea Selatan, Geumsan Ginseng Asia.

Setelah tamat tiga peringkat perlumbaan, Adiq mempamerkan aksi konsisten apabila menduduki tempat ke-39 (peringkat pertama), tempat kesembilan (peringkat kedua) dan tempat ke-13 (peringkat ketiga).

Adiq berkata selain itu, ketika di Genting Highlands, pasukannya juga mensasarkan untuk merampas jersi kuning (kategori individu keseluruhan) dan mengekalkan jersi polka-dot yang kini dipegang rakan sepasukannya, Peter McDonald.

"Mungkin untuk dua peringkat berikutnya yang merupakan laluan landai, kami akan kekal dengan strategi sama iaitu menguasai zon pendakian dan mengekalkan rakan sepasukan, David Pell di dalam kelompok untuk memenangi jersi kuning," katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Abu Samah Wahab berkata ketua jurulatih kebangsaan, John Beasley pernah meramalkan Adiq akan menggantikan Mohd Azizulhasni Awang pada satu hari nanti.

"Nampaknya jangkaan Beasley ada asasnya berdasarkan persembahan Adiq setakat ini walaupun ini merupakan perlumbaan pertamanya di dalam acara lebuh raya," katanya.

Abu Samah berkata PKBM mengharapkan Adiq akan lebih matang dari semasa ke semasa serta dapat memberi saingan kepada pasukan-pasukan profesional yang lain pada baki empat peringkat perlumbaan LTdL 2010 ini.

Perlumbaan LTdL peringkat keempat esok akan bermula di Mersing ke Parit Sulong dengan jarak sejauh 163.5 km dengan 113 pelumba yang mewakili 20 pasukan akan meneruskan saingan. - BERNAMA

Artikel Lain