suria

Kemenangan Piala Carling Trofi Ke-34 Ferguson Sebagai Pengurus

KEMENANGAN Manchester United (Man Utd) 2-1 ke atas Aston Villa dalam perlawanan akhir Piala Carling malam Ahad lalu adalah merupakan trofi Sir Alex Ferguson yang ke-34 sejak memulakan karier sebagai pengurus.

Tidak ada pengurus dalam sejarah liga yang berjaya capai apa yang telah dicapai oleh beliau.

Dan sebaik sahaja perlawanan itu selesai, Ferguson terus mengorak langkah untuk membuat persiapan bagi mengutip piala yang seterusnya.

Beliau memuji semangat juang keseluruhan anggota pasukannya yang disifatkannya sebagai enggan menyerah kalah apabila mereka bangkit dari ketinggalan 1-0 hasil jaringan penalti James Milner untuk menang 2-1.

Kejayaan itu turut menjadikan Man Utd pasukan yang pertama berjaya mempertahankan Piala Carling sejak Nottingham Forest melakukannya pada tahun 1990 - iaitu selepas 20 tahun pasukan terakhir berjaya mempertahankan kejuaraan piala itu.

Dan sekali lagi yang menjadi hero United ialah tidak lain dan tidak bukan Wayne Rooney.

Sebelum itu Michael Owen meletakkan Man Utd 1-1 dengan jaringan oportunisnya yang merupakan satu trademark penyerang yang masih tidak berputus asa untuk menempah tempat ke dalam skuad Piala Dunia England.

Ia adalah gol Owen yang ke-9 musim ini - satu statistik yang tidak patut diketepikan oleh Pengurus England, Fabio Capello memandangkan jumlah perlawanan yang terhad untuk Owen tetapi masih mampu mengekalkan ratio gol yang tinggi.

Cuma malang bagi Owen, kecederaan hamstring yang dialaminya sedikit menjejaskan peluangnya untuk beraksi dalam perlawanan seterusnya.

Tetapi kecederaan yang dialami oleh Owen telah membuka lorong kepada Rooney untuk masuk lebih awal pada malam itu sekaligus menjamin kemenangan Man Utd.

Tandukannya hasil hantaran silang Antonio Valencia yang sebelum itu melakukan gerakan one to one dengan Berbatov gagal di selamatkan oleh Brad Friedel yang bermain cemerlang pada malam itu.

Ia adalah gol yang ke-28 Rooney musim ini, yang ke-9 menerusi tandukan dan yang ke-5 berturut-turut menggunakan kepala.

Ini meletakkan dirinya dalam saingan untuk mengatasi jumlah 42 gol yang dihasilkan oleh Cristiano Ronaldo dua musim yang lalu.

"Kemenangan ini masih belum cukup. Harap-harap saya akan menjulang satu lagi trofi musim ini," kata Ferguson, sambil tersenyum menambah yang dia masih belum puas mengutip pingat.

Artikel Lain