suria

KAFA Mahu Jalin Kerjasama Dengan Pasukan Negara Jiran

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan mengadakan lebih banyak perlawanan persahabatan dengan pasukan bola sepak negara jiran bagi menjalinkan kerjasama dan memantapkan pasukan dalam menghadapi pasukan lawan dalam semua pertandingan bola sepak yang disertainya musim ini.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pendedahan itu membolehkan pasukan The Red Warriors menimba pengalaman bagi menghadapi saingan lebih hebat di persada liga bola sepak sempena KAFA menjadikan tahun 2010 sebagai Tahun Bola Sepak Kelantan (TBSK).

Terbaru dalam siri perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV Sabtu lepas, anak buah Ketua Jurulatih, B. Sathianathan bertemu dengan pasukan kelab bola sepak Padang Sumatera Barat yang berkesudahan Kelantan menundukkan pasukan pelawat 2-0.

"Sebab mengadakan lebih banyak perlawanan persahabatan bertujuan menjalinkan kerjasama dengan pasukan negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan India, dan memantapkan pasukan kita dalam menghadapi saingan lebih getir dalam semua liga yang akan disertai KAFA," katanya semasa berucap pada majlis makan malam sempena perlawanan persahabatan antara Kelantan dengan Kelab Bola Sepak Padang di sini, malam tadi.

Annuar turut menyampaikan cek bernilai RM11,000 atau kira-kira 30 juta Rupiah kepada ketua rombongan pasukan dari Sumatera Barat itu, Kolonel Fauzi Bahar. Annuar berkata, sumbangan itu adalah hasil kutipan tiket perlawanan bola sepak anjuran KAFA bagi mengisi tabung bencana alam gempa bumi di Padang, akhir September tahun lepas.

Menyifatkan apa yang dilakukan oleh KAFA ini merupakan suatu dimensi baru dalam arena bola sepak, beliau berkata: "Walaupun KAFA bukan sebuah pasukan yang kaya, namun atas sifat kemanusiaan, pasukan ini sedia membantu rakyat negara jiran yang menghadapi musibah bencana alam itu mengikut kemampuan yang ada."

Annuar turut mengumumkan KAFA juga akan menganjurkan klinik bola sepak di peringkat umur bawah enam hingga 12 tahun, selain mengadakan lebih banyak seminar kejurulatihan di peringkat negeri. - BERNAMA

Artikel Lain