suria

Marino Vanhoenacker Juara, Granger Cipta Gelaran Hatrik Ironman Langkawi 2010

LANGKAWI: Triatlet dari Belgium, Marino Vanhoenacker menjuarai edisi ke-11 kejohanan Ironman Langkawi 2010 dengan catatan masa 8 jam 22 minit 31 saat yang berlangsung di sini, hari ini.

Catatan masa juara Ironman Austria dan Florida tahun lepas itu juga 4 minit 17 saat lebih pantas daripada masa yang dicatatkan oleh juara tahun lepas, Luke Mckenzie dari Australia yang mencatatkan 8:26:48.

Tempat kedua dimenangi peserta profesional Jepun, Hiroyuki Nishiuchi dengan catatan masa 8:50:52 dan ketiga Romain Guillaume dari Perancis (8:54:38).

Malang buat Mckenzie yang tidak dapat meneruskan saingan dan terpaksa menarik diri dari perlumbaan akibat keracunan makanan semasa mendahului peserta-peserta lain selepas berbasikal sejauh 120 kilometer.

Marino yang ditemui selepas mengungguli kejohanan itu berkata kemenangannya membuktikan beliau boleh bertanding di negara cuaca panas kerana sebelum ini dia dilabel hanya mampu bertanding di negara-negara eropah.

"Ini adalah penyertaan kedua saya di Ironman Langkawi selepas muncul naib juara pada 2003. Sebelum datang ke sini saya berlatih keras dan yakin dapat bersaing dengan Mckenzie da beberapa peserta handalan lain," katanya.

Bagi kategori wanita, juara bertahan Belinda Granger dari Australia mencipta keputusan hatrik untuk mengungguli ketegori itu buat tiga tahun berturut-turut. Beliau mencatatkan masa 9:23:33 berbanding rekodnya tahun lepas, 9:21:10.

"Dalam acara renang lagi saya dicabar sengit beberapa pelumba profesional wanita sehingga tamat acara berbasikal sejauh 180 km. Apabila memasuki acara larian saya mulai yakin memenangi pelumbaan," kata Belinda.

Tempat kedua kategori itu dimenangi rakan senegaranya, Edith Niederfriniger(9:35:02) dan ketiga, Hillary Biscay dari Amerika Syarikat (10:10:59).

Sementara itu, Mohd Hafiz Wong yang bertanding dalam kategori amatur menjadi peserta Malaysia pertama tiba di garisan penamat dengan catatan masa 10:08:16.

Peserta perlu menamatkan tiga disiplin iaitu berenang sejauh 3.8km, berbasikal 180 km dan berlari sejauh 42.2 km untuk layak bergelar Ironman.

Kejohanan ini menawarkan hadiah berjumlah US$50,000 (RM170,500), disertai 690 peserta dari 41 buah negara termasuk Malaysia.

Kejohanan turut dijadikan pentas pemilihan 35 atlit untuk bertanding di peringkat akhir Ironman dunia di Kona, Hawaii, Oktober ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain