suria

Lebih Enam Ratus Atlet Mulakan Cabaran Ironman 2010

LANGKAWI: Seramai 690 atlet dari 41 negara hari ini memulakan cabaran pada edisi ke-11 kejohanan Ironman Langkawi 2010.

Mereka memulakan disiplin renang sejauh 3.8 kilometer yang dilepaskan Pengarah Kejohanan, Datuk A. Chandrakumanan di Jeti Kuah di sini jam 7.30 pagi tadi.

Selepas itu para atlet perlu mengharungi dua lagi disiplin iaitu berbasikal sejauh 180 kilometer dan berlari 42.2 kilometer.

Juara bertahan, Luke Mackenzie dan Belinda Granger, kedua-duanya dari Australia adalah antara yang menyertai cabaran itu. Luke mencatat 8 jam 26 minit 48 saat (8:26:48) pada edisi ke-10 tahun lepas manakala rakan senegaranya, Belinda mencatatkan masa 9:21:10.

Turut tidak ketinggalan beribu-ribu penduduk dan pelancong yang tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan kejohanan itu.

Seramai 35 peserta terbaik kejohanan ini akan melayakan diri ke peringkat akhir kejohanan Ironman dunia di Kona, Hawaii, Oktober ini.

Kejohanan menawarkan hadiah keseluruhan US50,000(RM170,500). BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain