suria

Lima Peserta KRL Galas Cabaran Ironman Langkawi

LANGKAWI: Lima peserta tempatan membawa cabaran Kelab Rekreasi Langkawi (KRL) pada Kejohanan Ironman Langkawi 2010 edisi ke-11 di sini pada 27 Februari ini.

Mereka ialah Che Mansor Khamis, 48, Izham Che Abdul Hamid, 34, Chee See Seng,40, Cheah Kean Seng ,34, dan Khazali Harun,45.

Salah seorang peserta, Che Mansor Khamis dari Pasukan Gerakan Marin Langkawi yang telah menyertai Ironman Langkawi sejak ia mula dipertandingkan bertekad untuk memperbaiki masa terbaik yang pernah dicatatkannya daripada 12 jam pada Ironman Langkawi 2009 kepada 11 jam 30 minit bagi edisi ke-11, Sabtu ini.

"Saya yakin boleh melakukan catatan itu dengan segala persiapan yang telah dibuat untuk tahun ini," katanya yang ditemui sini hari ini.

Che Mansor pernah melayakan diri ke pusingan akhir kejohanan Ironman dunia di Kona Hawaii pada 2005, namun terpaksa mengenepikan peluang itu kerana ketiadaan penaja.

Sementara itu, Presiden KRL, Datuk Mansor Ismail berkata, beliau berterima kasih kepada penganjur Ironman Langkawi kerana terus memberikan peluang kepada peserta tempatan untuk menyertai kejohanan itu.

Katanya, kelima-lima peserta tempatan itu giat menjalani latihan persediaan untuk menghadapi kejohanan yang menguji tahap ketahanan fizikal dan mental para peserta.

Seramai 736 atlit dari 41 negara telah mengesahkan penyertaan pada kejohanan itu termasuk dua juara bertahan bagi kategori lelaki, Luke Mackenzie dan wanita, Belinda Granger, kedua-duanya dari Australia.

Ironman Langkawi yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah US$50,000 (RM170,500) akan melibatkan tiga disiplin yang perlu diharungi oleh para peserta iaitu berenang sejauh 3.8 kilometer, berbasikal 180 kilometer dan berlari 42.2 kilometer. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Selangor Seri Tanpa Jaringan

Artikel Berikut

Artikel Lain