suria

Kumpulan Liga Juara AFC Mulakan Perlawanan Selasa Depan

KUALA LUMPUR : Kumpulan Liga Juara AFC akan memulakan perlawanan Selasa depan dengan 32 kelab bola sepak Asia berentap untuk merebut kejuaraan, dan lenyap dari senarai ialah Malaysia.

Persekutuan Bolasepak Asia (AFC) dalam usahanya untuk menaikkan tahap bola sepak di Asia telah memperkenalkan Liga Juara AFC dan tahun ini ia terdiri daripada lapan kumpulan mengandungi empat pasukan setiap satu, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Untuk layak bertanding dalam liga, persatuan-persatuan anggota AFC perlu memenuhi syarat-syarat asas.

Malaysia, satu ketika merupakan sebuah pasukan yang kukuh di Asia, gagal memenuhi "kriteria penyertaan" untuk bermain dalam liga tempatan dan luar.

Bagaimanapun, masih ada harapan buat Malaysia oleh kerana ia adalah antara 12 negara yang telah menerima surat dari AFC meminta mereka membuktikan bahawa mereka mampu memenuhi "kriteria penyertaan" untuk menyertai liga tahun depan.

Negara-negara lain yang telah menerima surat ialah Iraq, Jordan, Myanmar, Oman, Pakistan, Palestin, Singapura, Tajikistan, Thailand, Vietnam dan Yemen. Singapura, Thailand dan Vietnam mengambil bahagian dalam 'play-off' bagi melayakkan diri ke peringkat kumpulan dalam liga tahun ini.

Pengarah Komunikasi AFC Sean Tohidi berkata AFC berminat melihat lebih banyak negara turut serta dalam liga dan sedia melakukan lawatan pemeriksaan sebaik saja ia menerima dokumen perlu dari persatuan-persatuan anggota.

Keputusan mengenai peserta baharu akan dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif AFC pada November.

"Sebenarnya, bola sepak Asia telah mencapai tahap baru. Kita telah melakukan peralihan baru ke arah bola sepak profesional dengan menerapkan amalan profesional dan menggalakkan semua persatuan anggota menyertai usaha kami," kata beliau.

Beliau berkata Bola sepak Asia berpotensi menentang mana-mana liga di dunia dan apa yang diperlukan ialah AFC hendaklah kekal di laluan yang betul dan meneruskan usahanya bagi memajukan lagi sukan itu di Asia.

"Kita berharap satu hari nanti peminat-peminat Asia bersorak menyokong kelab mereka sendiri dan tidak lagi kelab Eropah. Liga Premier Inggeris menjadi ingatan kepada kita bahawa masih banyak yang perlu kita lakukan. Potensinya ada dan kita berharap dapat mencungkil potensi itu demi bola sepak Asia yang lebih baik," ujar beliau.

Populariti dan kejayaan liga telah mendorong penajanya seperti Emirates Airlines, Epson, ING, Nike, Novotel, Pocari Sweat, Qatar Petroleum, QTel, Toyota dengan DHL, Nikon dan QuestNet tampil sebagai penyokong.

Bagi meningkatkan populariti kejohanan itu dan memupuk interaksi yang lebih baik dengan penyokong dan peminat tv, QuestNet kini menaja beberapa pertandingan dan acara promosi termasuk "Goal of the Month" di mana peminat bola sepak yang menonton perlawanan di tv boleh memilih apa yang mereka anggap sebagai gol terbaik bagi bulan berkenaan dan berpeluang memenangi hadiah.

J.R. Mayer, Pengarah Urusan, QNet Ltd berkata firmanya telah bergabung dengan Liga Juara AFC sejak lewat tahun lepas.

"Peranan kami sebagai 'Penyokong Jualan Langsung Rasmi' akan terterusan hingga 2012."

Setelah menyediakan pertandingan bermutu tinggi yang ditontoni oleh berjuta orang di Asia, AFC bercadang mempertingkatkan usaha dan menggalakkan anggota-anggota lain memenuhi kriteria penyertaan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Madrid Benam Villareal 6-2

Artikel Berikut

Artikel Lain