suria

Larian Obor Sukma Ke 13 Di Melaka Bermula 28 Feb Ini

MELAKA: Larian Obor Sukan Malaysia Ke-13 (Sukma) akan bermula 28 Februari ini bagi menyemarak dan menghangatkan lagi semangat penganjuran temasya sukan itu di kalangan rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata larian obor itu akan melibatkan kesemua 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bermula di Linggi.

"Saya harap dalam tempoh kira-kira 100 hari Sukma akan menjelang, program ini akan dapat meningkatkan semangat Sukma di kalangan rakyat Melaka dan juga rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan anggota jawatankuasa Kelab Media Massa Melaka di Seri Bendahara, Ayer Keroh di sini, pada Sabtu.

Menurutnya kemuncak kepada larian itu ialah pada 10 Jun pada majlis upacara pembukaan rasmi temasya sukan itu yang akan berlangsung di Stadium Hang Jebat di sini.

Temasya Sukma ke-13 akan berlangsung dari 10 hingga 19 Jun ini dengan mempertandingkan 34 acara sukan.

Mohd Ali berharap semua lapisan rakyat terutama pelajar sekolah, institusi pengajian Tinggi, warga kerja sektor swasta dan kerajaan serta warga emas, dapat melibatkan diri dalam program berkenaan.

Katanya pelbagai aktiviti sampingan yang melibatkan masyarakat setempat di sepanjang laluan larian obor itu turut diatur.

"Saya minta semua rakyat Melaka datang menyokong dan melibatkan diri dalam apa cara sekali pun bagi memeriahkan Sukma ke-13 yang pertama kali diadakan di Melaka dan pertama kali diadakan secara besar-besaran dalam sejarah Sukma," katanya.

Beliau turut berharap atlet-atlet Melaka lebih bersedia daripada sekarang untuk menyaingi atlet-atlet negeri lain dan memburu kejuaraan untuk kontinjen negeri. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain