suria

Kang Sedia Pertahankan Gelaran Terbuka M'sia

KUALA LUMPUR: Juara bertahan Anthony Kang sudah bersedia menghadapi cabaran dari barisan elit pada Kejohanan Golf Terbuka Malaysia-Maybank 2010 di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC), dekat sini, bulan depan.

Menurut kenyataan Jelajah Asia hari ini, Kang menamatkan kemarau gelaran dengan merangkul kejuaraan Terbuka Malaysia tahun lepas selepas kali terakhir muncul juara Jelajah Asia di Terbuka Myanmar pada 2001.

Pada edisi ke-49 ini, pemain Amerika Syarikat berbangsa Korea itu akan bersaing dengan pemain handalan seperti juara Asia tiga kali, Thongchai Jaidee dari Thailand, pemain Korea J.J.Choi serta bintang Piala Ryder, Darren Clarke.

Kejohanan, yang diiktiraf oleh Jelajah Asia dan Eropah, menawarkan hadiah wang tunai US$2 juta (RM6.8 juta) dan akan berlangsung dari 4 hingga 7 Mac ini.

Kejayaan Kang musim lepas membolehkannya mendapatkan hak bermain di SIRKIT Asia dan Eropah dan beliau percaya pengalaman global yang diperolehinya meletakkannya dalam kedudukan baik untuk mempertahankan kejuaraan di sini.

"Saya banyak menimba pengalaman beraksi di sirkit Eropah dan saya mula nampak tanda positif. Persembahan saya lebih baik berbanding tahun lepas dan saya amat teruja," katan Kang dalam kenyataan tersebut.

Kang menduduki tangga ketiga dalam ranking Jelajah Asia musim lepas iaitu prestasi terbaik sepanjang 12 musim pembabitannya di Asia.

Katanya beliau tidak rasa tertekan untuk kembali semula bagi mempertahankan kejuaraan di sini berikutan prestasinya yang meningkatkan.

"Harap saya boleh memang dan membuka banyak lagi peluang," kata pemain berusia 37 tahun itu.

Dalam pada itu, bekas juara dua kali Arjun Atwal, dari India, berharap untuk merangkul kejuaraan itu buat kali ketiga selepas edisi 2003 dan 2008.

Pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu telah memenangi tujuh kejohanan dalam Jelajah Asia dan merupakan pemain ranking nombor satu Asia pada 2003.

"Kenangan mengenai kejayaan di Malaysia masih segar dalam ingatan dan berharap untuk melakukan presembahan terbaik sekali lagi di sini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain