suria

Skuad Futsal Negara Yakin Tempah Tiket Ke Tashkent

PETALING JAYA: Pasukan Futsal negara yang dibarisi pemain muda yakin dapat memberi persembahan terbaik pada pusingan kelayakan Kejohanan Futsal AFC di Indonesia yang bermula Sabtu ini dan seterusnya melayakkan diri ke pusingan akhir di Tashkent, Uzbekistan Mei ini.

Pengurus pasukan Malaysia Datuk Hamidin Mohd Amin berkata beliau yakin dengan kombinasi kekuatan 14 pemain yang terdiri daripada pemain muda dan lama, yang mempamerkan corak permainan yang pantas dan menggunakan pelbagai taktik.

"Semasa pertemuan bersama pemain ini, mereka telah berjanji untuk memberi 100 peratus komitmen untuk skuad negara," katanya kepada pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini hari ini.

Dalam pusingan kelayakan Zon Asean yang akan diadakan di Stadium Tenis Tertutup di Jakarta, dari 20-25 Feb ini, tujuh pasukan negara dibahagikan kepada kumpulan A iaitu Australia, Indonesia dan Myanmar sementara Kumpulan B -- Malaysia, Vietnam, Kemboja dan Filipina.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad futsal Malaysia Maizal Hairi Marzuki berkata dalam saingan kumpulan B, skuad negara dijangka mendapat tentangan hebat daripada pasukan Vietnam yang pernah menewaskan Malaysia.

"Pertemuan dengan pasukan Kemboja dan Filipina pula, kami yakin menundukkan mereka. Oleh yang demikian, tidak mustahil untuk merangkul sekurang-kurangnya tempat kedua teratas di dalam kumpulan B untuk memasuki pusingan separuh akhir," katanya.

Beliau beranggapan jika pasukan Malaysia memasuki perlawanan separuh akhir nanti, skuad negara akan bertembung samada pasukan Indonesia ataupun Myanmar. Sebelum ini, Malaysia pernah menewaskan kedua-dua pasukan tersebut.

"Dan sekiranya kita melayakan diri ke perlawanan akhir pusingan kelayakan nanti, kita sudah tentu akan beraksi menentang Australia yang merupakan ranking keenam di rantau Asia," katanya.

Dua pasukan finalis akan menempah tiket ke pusingan akhir di Uzbekistan nanti.

Ditanya mengenai rasional menyenaraikan tiga penjaga gol daripada 14 pemain dalam skuad itu, Maizal Hairi menjelaskan ia bertujuan untuk memastikan skuad Malaysia menpunyai penjaga yang mencukupi dalam keadaan terdesak.

"Sebelum ini dalam perlawanan AFC tahun lepas, semasa menentang Vietnam dalam perlawanan kumpulan, dua penjaga gol kita telah dilayangkan kad merah.

"Seterusnya, dalam perlawanan berikutnya yang kritikal, kami terpaksa menggunakan khidmat pemain biasa sebagai penjaga gol. Oleh yang demikian, kami tidak mahu mengambil risiko kali ini supaya kejadian yang sama tidak berulang lagi," katanya.

Dalam perlawanan pusingan kelayakan Futsal AFC, Malaysia bakal berhadapan dengan Filipina pada 20 Februari, Kemboja (21 Februari) dan Vietnam (22 Februari).

Manakala dua perlawanan separuh akhir akan diadakan pada 24 Februari dan perlawanan akhir pada 25 Februari. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain