suria

Liga Perdana: Felda United, Selangor PKNS, Harimau Muda Kekal Gah

KUALA LUMPUR: Felda United, Selangor PKNS dan Harimau Muda kekal gah sebagai tiga pasukan teratas dalam saingan Liga Perdana selepas pasukan berkenaan mencatat kemenangan malam ini.

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Felda United selaku pendahulu liga, berjaya mengutip tiga mata selepas menang tipis 2-1 mengatasi Polis.

Dalam perlawanan itu, Felda United membuka jaringan menerusi Amir Shahreen Abdul Mubin pada minit ke-21, dan diikuti gol kedua dihasilkan Abdul Ghani Abdul Rahman (minit ke-61). Gol Polis dijaringkan oleh Mohd Fauzi Abdul Majid pada minit ke-80.

Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya di Kelana Jaya, Selangor PKNS membelasah Pos Malaysia 3-0 untuk mengumpul tiga mata. Tiga gol Selangor PKNS dijaringkan oleh Mohammad Khairul Akhyar Husain (minit kelima), Mohd Fitri Omar (minit ke-35), dan Mohd Fadhil Mohd Hashim (minit ke-80).

Felda United terus kekal sebagai pendahulu liga selepas memiliki kelebihan jaringan gol walaupun berkongsi mata keseluruhan 16 mata bersama-sama Selangor PKNS.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, Harimau Muda menewaskan Melaka 3-1.

Skuad Harimau Muda bimbingan ketua jurulatih Ong Kim Swee membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria dan A. Tamil Arasu menyumbang dua gol pada minit kelapan dan ke-22.

Gol saguhati Melaka dijaringkan oleh Mohd Zaidi Zubir pada minit ke-87. - BERNAMA

Artikel Lain