suria

Larian Kuala Lumpur Dibuka Kepada Golongan Kurang Upaya

KUALA LUMPUR: Edisi kedua Larian Kuala Lumpur sempena Hari Wilayah yang dijangka disertai 4,000 peserta tahun ini, juga terbuka kepada kategori Orang Kurang Upaya (OKU).

Pengarah Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Muhammad Sidek Khalid berkata, acara itu yang akan berlangsung di Dataran Merdeka pada 21 Februari ini, berjaya menarik 1,700 peserta setakat ini.

"Pendaftaran bagi larian sejauh 7 km itu akan ditutup pada 19 Februari di mana yuran bagi peserta dewasa ialah RM10 manakala RM3 untuk pelajar.

"Sebanyak 17 kategori dipertandingkan meliputi usia tujuh tahun sehingga 60 tahun ke atas dan kami berharap penyertaan peserta kurang upaya akan menambahkan keceriaan dalam pertandingan ini kerana memberi mereka peluang bersaing dengan peserta normal," katanya.

Muhammad Sidek berkata, acara itu dianjurkan bersama oleh DBKL dan Persatuan Olahraga Amatur Wilayah Persekutuan (FTAAA) sempena sambutan Hari Wilayah pada 1 Februari.

"Semua peserta akan berlari sejauh 7 kilometer kecuali peserta warga emas yang akan berlari sejauh 5 kilometer, manakala pelajar, keluarga dan kurang upaya akan berlari sejauh 3 kilometer," katanya.

Seribu pelari pertama antara 17 kategori tersebut akan menerima pingat dan sijil.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan borang penyertaan dari pejabat FTAAA di Wisma OCM, Jalan Hang Jebat, di sini. - BERNAMA

Artikel Lain