suria

Skuad Bola Tampar Kebangsaan Berdepan Masalah Kekurangan Pemain

KUALA LUMPUR: Skuad bola tampar negara berhadapan krisis kekurangan pemain kerana para pemain lebih berminat mewakili kelab atau negeri berbanding skuad kebangsaan.

Jurulatih kebangsaan Shamsaimon Mohd Sharif berkata, senario itu berlaku disebabkan kurangnya kejohanan antarabangsa yang membataskan peluang mereka untuk beraksi.

Katanya, walaupun skuad kebangsaan mempunyai 12 pemain yang beraksi di Sukan SEA di Laos akhir tahun lepas, tetapi mereka tidak berminat untuk kekal dengan pasukan itu kerana tiada kejohanan kompetitif yang boleh disertai.

Shamsaimon berkata Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava) tidak akan menghantar skuad kebangsaan ke Sukan Komanwel di New Delhi tahun ini kerana acara tersebut tidak dipertandingkan.

Malaysia, yang menduduki ranking ke-lima di Asia Tenggara, pula tidak layak menyertai Sukan Asia di Guangzhou kerana kuota tersebut diisi oleh dua pasukan terbaik Asia Tenggara iaitu Thailand dan Indonesia.

Mava tidak mempunyai kejohanan besar pada tahun ini melainkan Kejohanan Bola Tampar Asean bawah-18 yang dijangka diadakan pada bulan Mei di Stadium Badminton Cheras di sini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain