suria

Ping Pong Sertai Tiga Kejohanan Sebelum Ke Sukan Komanwel 2010

KUALA LUMPUR: Skuad Ping Pong kebangsaan akan menyertai tiga kejohanan utama bertaraf antarabangsa sebagai persiapan menghadapi Sukan Komanwel di New Delhi, India dari 3 hingga 14 Oktober depan.

Pengarah eksekutif Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) Soong Poh Wah berkata, tiga kejohanan tersebut adalah Kejohanan Ping Pong Berpasukan Dunia di Moscow, Rusia (23-30 Mei), Golden Racquet International Tournament di Vietnam (13-18 Julai) dan Kejohanan Ping Pong Asia Tenggara di Filipina (4-8 Ogos).

"Pertandingan ini sebagai persediaan menghadapi Sukan Komanwel dengan sasaran sekurang-kurangnya meraih satu pingat perak atau gangsa pada temasya sukan itu," katanya di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya skuad kebangsaan tidak akan menyertai Sukan Asia kerana kuasa besar seperti China, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong, China dan Singapura bakal menggugat peluang Malaysia untuk memenangi sebarang pingat.

Sukan Asia akan berlangsung di Guangzhou, China dari 13 hingga 21 November depan.

Skuad ping pong kebangsaan tidak pernah memenangi sebarang pingat pada kedua-dua temasya tersebut sejak mula menyertai Sukan Asia di Jakarta pada 1962 dan Sukan Komanwel 2002 di Manchester, England.

Soong berkata sebagai memantapkan persediaan ke Sukan Komanwel, skuad kebangsaan yang kini dilatih oleh jurulatih dari China, Hao Pei Shu, akan menjalani latihan selama sebulan di China, sebulan sebelum berlangsungnya Sukan Komanwel.

Bagi Sukan Komanwel, skuad kebangsaan akan menghantar lapan atlet iaitu, empat lelaki dan empat perempuan tetapi tujuh atlet sudah mengesahkan penyertaan mereka dan dua pemain pelapis kebangsaan, Mohd Asyraf Haiqal dan Foh Zheng Liu bakal merebut salah satu tempat ke New Delhi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain