suria

Malaysia Tuan Rumah Pusingan Kelayakan Polo Piala Dunia Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menjadi tuan rumah kejohanan pusingan Kelayakan Polo Piala Dunia kali ke-sembilan tahun depan.

Presiden Persatuan Polo Diraja Malaysia (RMPA) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata Malaysia akan menganjurkan kejohanan antarabangsa itu pada Jun 2011 bagi pusingan kelayakan zon D yang melibatkan lapan pasukan polo kebangsaan dari Asia, Australasia dan Afrika.

"Sasaran kita untuk membida kejohanan Piala Dunia ini tidak hanya untuk mempamerkan sukan Polo di Malaysia tetapi juga untuk memperbaiki sukan polo di negara ini.

"Kita merancang untuk melakukan beberapa perkara seperti memperbaiki infrastruktur RMPA dan padang permainan yang bertaraf dunia, menggalakkan pemilik membeli kuda yang berkualiti, mewujudkan akademi polo kebangsaan, program polo remaja dan program menunggang kuda untuk golongan tidak berkemampuan," katanya.

Tengku Abdullah yang juga Tengku Mahkota Pahang berkata demikian selepas majlis menandatangani penganjuran pusingan kelayakan itu antara RMPA dan Presiden Persekutuan Polo Antarabangsa, James Ashton di Kelab Diraja Polo Malaysia di sini hari ini.

Tengku Abdullah berkata bidaan itu turut mendapat sokongan daripada kerajaan apabila beliau dan beberapa anggota jawatankuasa RMPA ke Buenos Aires, Argentina pada November tahun lepas.

"Ketika di Buenos Aires, kita menyatakan hasrat kita bukan sahaja untuk menjadi tuan rumah kepada kejohanan kelayakan 2011, tetapi juga untuk membida menjadi tuan rumah Kejohanan akhir FIP Polo Piala Dunia pada 2014," katanya.

Mengulas mengenai persediaan pasukan kebangsaan untuk kejohanan itu, Tengku Abdullah berkata pasukan kebangsaan itu dinamakan sebagai "RMPA 1Malaysia", yang kini bermain di dalam liga antarabangsa RMPA.

"Mereka (pasukan kebangsaan) mula menunjukkan peningkatan di peringkat serantau dan dalam perlawanan ujian. Dengan berbaki 12 bulan sebelum kejohanan bermula, mereka akan menjalani latihan di Argentina atau di negara lain.

"Kita mahu memastikan setiap pemain kita bersedia sepenuhnya bagi menghadapi kejohanan kompetitif ini. Kita meletakkan sasaran untuk berada di kedudukan dua teratas daripada lapan pasukan pada pusingan kelayakan di sini," katanya.

Brazil menjadi tuan rumah pusingan akhir Polo Piala Dunia 2011. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain