suria

Memanah: Malaysia Bertemu India Dan Korea Selatan Di Separuh Akhir

KUALA LUMPUR: Pemanah Recurve lelaki dan wanita negara melangkah bergaya ke peringkat separuh akhir acara berpasukan Kejohanan Grand Prix Memanah Asia Pertama 2010 yang berlangsung di Kompleks Sukan MSN, Taman Keramat di sini, hari ini.

Pemanah Olimpian, Cheng Chu Sian yang mengetuai barisan pasukan lelaki yang terdiri daripada Fazli Hisham Fauzi dan Arif Farhan Ibrahim Putra menewaskan trio dari Hong Kong, 216-192.

Mereka akan berdepan dengan pasukan India yang terdahulu mengalahkan Australia 215-201.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir esok akan menyaksikan pertemuan antara Korea Selatan dan Taiwan.

Acara Recurve berpasukan wanita, trio pemanah negara S. Anbarasi, Noor Aziera Taip dan Beatrice Wong menewaskan Kazakhstan 197-189 untuk menempatkan diri dalam perlawanan separuh akhir esok.

Mereka akan bertemu pasukan pilihan pertama kejohanan, Korea Selatan yang mendapat'bye' semasa undian.

Satu lagi perlawanan separuh akhir esok menyaksikan India bertemu Taiwan selepas kedua-dua pasukan mendapat 'bye'.

"Walaupun berjaya mara ke perlawanan separuh akhir, pasukan Recurve wanita masih ada kekurangan. Beatrice, misalnya, dia mempunyai potensi untuk maju.

"Dia baru sertai skuad elit tiga minggu lepas dan mungkin akan lebih bersedia dalam tiga bulan akan datang," katanya.

"Bagi pasukan lelaki, Arif Farhan dan Fazli kini boleh menghadapi saingan dengan baik tetapi berbanding Chu Sian mereka masih kurang pengalaman.

"Tahun ini kita merancang untuk memberi lebih banyak peluang kepada mereka untuk sertai mana-mana kejohanan," kata jurulatih negara Lee Jae-Hyung.

Menyentuh mengenai perancangan selepas kejohanan ini, Lee berkata atlet memanah akan memberi perhatian kepada Kejohanan Pra-Sukan Komanwel di India bulan depan.

"Walaupun Grand Prix Asia kedua di Bangkok juga berlangsung pada bulan Mac, tetapi kami memilih ke Pra-Sukan Komanwel kerana ia adalah sebagai persediaan bagi menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain