suria

Chu Sian, Ariff Farhan Mara Ke Suku Akhir GP Memanah Asia

KUALA LUMPUR: Pemanah elit negara, Cheng Chu Sian dan Arif Farhan Ibrahim Putra berjaya melayakkan diri ke peringkat suku akhir acara Recurve individu lelaki pada Kejohanan Grand Prix Memanah Asia Pertama 2010 di sini, hari ini.

Pada pertandingan yang berlangsung di Kompleks Sukan MSN Taman Keramat, Chu Sian yang mendapat 'bye' pada pusingan pertama menewaskan Oibek Saidiyev dari Kazakhstan di pusingan kedua dengan 115-103.

Pemanah nombor satu negara itu akan berdepan Ku Yuan-Hsiang dari Taiwan pada pertandingan peringkat suku akhir esok. Ku sebelum itu menewaskan Denis Gankin, juga dari Kazakhstan 112-104 untuk menempah tempat di pusingan berikutnya.

Arif Farhan terpaksa bersaing sengit untuk menempah tempat ke suku akhir bermula dari pusingan pertama, dan hanya berjaya newaskan pemanah Taiwan, Wu Hsin-Chih 108-105 dan seterusnya pada pusingan kedua, beliau terpaksa menghadapi saingan sengit pemanah pilihan ketiga kejohanan, Kapil dari India.

Terikat dengan kedudukan 107-107, Arif Farhan dan Kapil terpaksa melalui pusingan penentuan yang berkesudahan beliau berjaya memperoleh 10 mata tambahan berbanding Kapil yang hanya mengutip lapan mata.

"Saya amat berpuas hati dengan prestasi pemanah Recurve lelaki dan terutama sekali Chu Sian dan Arif Farhan. Bagi Chu Sian, saya sudah jangka prestasinya tetapi saya agak gusar dengan prestasinya bila melangkah ke perlawanan akhir.

"Arif Farhan pula, sejak beliau dipilih ke dalam skuad elit, beliau menunjukkan banyak perkembangan. Selepas Sukan SEA Laos, beliau terus pamer prestasi yang baik.

"Paling mengecewakan kali ini ialah pemanah Recurve wanita. Selepas mempamerkan prestasi yang baik pada pusingan kelayakan tidak seorangpun layak ke suku akhir. Prestasi mereka tidak menentu," kata ketua jurulatih negara, Lee Jae-Hyung.

Pada acara Recurve individu wanita, ketiga-tiga pemanah sandaran negara Noor Aziera Taip, S. Anbarasi dan Nur Amirah Mohamed tersekat kemaraan mereka selepas tewas di tangan lawan masing-masing di pusingan kedua.

Ia sekaligus menyaksikan tiada kelibat pemanah negara yang akan beraksi di peringkat berikutnya esok.

Dalam acara Compound individu lelaki pula, lima pemanah negara Kelvin Hoo, Mohd Khairuddin Asah, Lang Hon Keong, Lau Siew Hong dan Muhammad Zaki Mahazan berjaya melayakkan diri ke peringkat suku akhir.

Pemanah Compound lelaki negara mengesahkan satu tempat di peringkat separuh akhir apabila Siew Hong dan Muhammad Zaki akan bersaing sesama sendiri di peringkat suku akhir. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Senarai Penjaring Terbanyak EPL

Artikel Lain