suria

PBJM Bentuk Skuad Yang Baru Untuk Pertahankan Kejuaraan Remaja Asia

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) sedang membentuk skuad remaja yang baru bagi mempertahankan kejuaraan dalam Kejohanan Bola Jaring Remaja Asia yang dimenangi sejak 2004 dengan menyenaraikan 26 pemain baru.

Setiausaha Kehormatnya, Mazidah Musa berkata barisan pemain remaja itu kini sedang menjalani latihan pusat di Melaka di bawah kendalian dua jurulatih, Choo Kon Lee dan Kamariah Isa.

"Skuad baru remaja kebangsaan menjalani latihan pusat di sana (Melaka) selama tujuh hari bermula 31 Januari hingga 7 Februari manakala latihan seterusnya antara 28 Februari hingga 7 Mac tetapi tempat belum kita kenal pasti," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Kejohanan Bola Jaring Remaja Asia kali ke-7 tahun ini akan diadakan di New Delhi, India dari 1 hingga 12 Julai.

Mazidah berkata skuad bola jaring kebangsaan gagal melayakan diri ke Sukan Komanwel kerana menduduki tangga ke-20 dalam ranking dunia manakala pasukan yang layak ialah dari ranking pertama hingga ke-11 dan sukan itu juga tidak dipertandingkan pada Sukan Asia.

Katanya skuad kebangsaan akan bertanding dalam pusingan kelayakan bagi merebut dua tiket ke Kejohanan Bola Jaring Dunia di Singapura pada Julai 2011.

Kejohanan kelayakan itu sepatutnya diadakan di Sri Lanka pada Mac tahun lepas namun mendapat bantahan daripada negara-negara peserta yang lain.

Beliau berkata PBJM juga sedang meneliti tawaran daripada Persekutuan Bola Jaring Antarabangsa (INF) bagi menganjurkan kejohanan itu pada Ogos ini yang akan disertai oleh Malaysia, Sri Lanka, Maldives dan India.

Artikel Berikut

AS Roma Terus Kekalkan Rentak

Artikel Lain