suria

RTM Sasar 10 Juta Penonton Semasa Piala Dunia FIFA 2010

KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyasarkan 10 juta penonton Piala Dunia FIFA 2010 berikutan RTM berupaya menyiarkan secara langsung lebih banyak perlawanan berbanding pada temasya itu empat tahun lepas.

Timbalan Ketua Pengarah (Penyiaran Strategik) Datuk Norhyati Ismail berkata sebelum ini pada 2006, RTM hanya meraih 4.2 juta penonton kerana kebanyakan pasukan kegemaran rakyat Malaysia kalah di peringkat awal dan tidak semua perlawanan kegemaran dapat disiarkan.

"Tetapi kali ini, RTM berupaya menyiarkan lebih banyak siaran perlawanan secara langsung berbanding Piala Dunia yang lepas," katanya dalam sidang media selepas majlis Tayangan Media Piala Dunia FIFA 2010 di sini, hari ini.

Beliau berkata RTM juga mempersiapkan pasukan promosi khas untuk acara itu menerusi kempen jelajah di seluruh negara di samping hebahan melalui stesen-stesen radio RTM.

"Pasukan promosi kita daripada Utusan Airtime akan mempromosikan produk RTM khususnya siaran ini lebih awal sebelum bermulanya demam FIFA pada Jun nanti," katanya.

Pengarah Urusan Utusan Airtime, Adi Satria berkata rating TV membuktikan siaran secara langsung perlawanan bola sepak oleh saluran-saluran RTM telah secara konsisten mencatatkan jumlah tinggi penonton.

"Pada musim Piala Dunia FIFA 2006 di Jerman, stesen-stesen RTM menyiarkan lapan perlawanan dengan lebih satu juta penonton," katanya.

Katanya RTM akan menyiarkan kapsul kiraan detik 100 hari selama seminit mengenai aksi-aksi menarik Piala Dunia sebelum ini yang akan disiarkan melalui kedua-dua saluran RTM.

"Selain itu, juga akan disiarkan program majalah FIFA sebanyak 17 episod mengenai (hos Piala Dunia 2010) Afrika Selatan dan aktiviti FIFA. Di samping itu, bahagian sukan akan mengendalikan program interaktif dan permainan bola sepak di mana penonton berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik," katanya.

Beliau berkata masa siaran itu juga merupakan platform terbaik untuk mengiklankan produk melalui RTM kerana siaran stesen itu boleh diikuti sehingga ke Asia Tenggara.

Minggu lepas, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim mengumumkan RTM diberikan hak eksklusif untuk menyiarkan secara langsung perlawanan bola sepak Piala Dunia FIFA 2010 yang akan berlangsung di Afrika Selatan dari 11 Jun hingga 12 Julai.

Katanya RTM akan menyiarkan 35 perlawanan dengan 24 daripadanya disiarkan secara langsung sementara bakinya disiarkan melalui siaran tertunda dan berjaya mendapatkan tawaran pakej program percuma bagi 26 jam dan 10 minit di saluran RTM1 dan RTM2. Hampir kesemua siaran langsung itu akan bermula 11 malam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain