suria

Perseorangan Mudah Melangkah, Regu Buat Pasangan Pilihan Berpeluh

JOHOR BARU: Pemain badminton perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei mengetuai kemaraan barisan pemain badminton kebangsaan ke peringkat seterusnya selepas berjaya menumpaskan lawan masing-masing dalam perlawanan pertama Kejohanan Badminton Grand Prix Akhir Kebangsaan (GP Akhir) di Stadium Tertutup di sini hari ini.

Chong Wei, pemain nombor satu dunia mengalahkan rakan senegeri dari Pulau Pinang, Ho Khek Mong 21-9,21-18 dalam tempoh 25 minit dalam kumpulan A.

Kuan Beng Hong pula yang sedang mengintai salah satu slot pemain perseorangan lelaki dalam skuad Piala Thomas negara mudah menewaskan lawan dari Melaka, Goh Soon Huat 21-14,21-10.

Turut meneruskan kemaraan Tan Chun Seang yang mengalahkan Soo Kar Seong dari Perak 21-13,21-12, manakala Chan Kwong Beng dari Perak menumpaskan Muhd Syawal Ismail dari Selangor 21-15,21-6.

Bagaimanapun, pemain veteran negara Roslin Hashim tewas kepada pemain Kuala Lumpur, Kuan Kam Chung 19-21,16-21.

Pasangan beregu lelaki veteran Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pula dikerah sehingga ke set penentuan oleh beregu muda dari Sekolah Sukan Bukit Jalil, Chooi Kah Ming-Ow Yao Han Jalil sebelum menang 16-21,21-9,21-6 dalam perlawanan kumpulan A.

Nasib sama ditempuh beregu pilihan kedua, Mohd Farizizuan Tazari-Mohd Zakry Abdul Latif, yang dipaksa bermain sehingga tiga set oleh beregu muda Cheah Like Hou-Chow Pak Chiu sebelum menang 18-21,21-17,21-15 dalam kumpulan B.

Dalam kategori beregu wanita Chin Ee Hui-Wong Pei Tty tidak menghadapi sebarang masalah untuk mara ke peringkat seterusnya selepas menang ke atas pasangan Lai Pei Jing-Shevon Lai, 21-11,21-15. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain