suria

Kekurangan Kejohanan Jejas Peluang Farkhan Wakili Negara

KUALA LUMPUR: Pemenang pingat emas dalam sukan tinju kategori 75kg di Sukan Sea Laos, Mohd Farkhan Mohamed Haron bimbang dengan kekurangan kejohanan yang akan disertainya dalam usaha menempah tiket ke Sukan Komanwel di India dan Sukan Asia di Guangzhou, China.

Katanya, setakat ini hanya dua kejohanan antarabangsa yang bakal disertainya pada bulan depan iaitu Kejohanan Tinju Singapura, Johor dan Riau (Sijora) yang bakal berlangsung di Singapura dan Kejohanan Tinju Antarabangsa Teluk Danga di Johor.

"Saya berharap persatuan dapat menghantar saya menyertai lebih banyak kejohanan bagi mencerahkan peluang saya mewakili negara ke Sukan Asia dan juga Sukan Komanwel nanti," katanya di sini hari ini.

Mohd Farkhan berkata, mengikut perancangan awal, Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) bercadang menghantar skuad peninju kebangsaan menjalani latihan di Thailand pada Mac selepas mereka menyertai dua kejohanan terbabit.

Pemenang pingat emas kategori 69kg di Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu pada 2008 itu berkata, ketika ini dia menjalani latihan di bawah jurulatih peribadinya, Zulkifli Yaakob yang juga jurulatih skuad pelapis kebangsaan.

"Saya masih menjalani latihan harian bagi persediaan ke Kejohanan Sijora di samping membahagikan masa sebagai penuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM)," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain