suria

Chong Wei Tetap Pertahan Kejuaraan GP Akhir Kebangsaan

JOHOR BAHARU: Datuk Lee Chong Wei cukup cergas dan bersedia untuk mengungguli kejuaraan kali kelapan dalam acara perseorangan lelaki pada Kejohanan Badminton Grand Prix Sirkit Akhir Kebangsaan yang akan berlangsung di Stadium Tertutup di sini, bermula esok hingga Ahad ini.

Jurulatihnya, Misbun Sidek bangga dengan pemain nombor satu dunia itu kerana bersetuju untuk turun ke gelanggang untuk memburu gelaran walaupun sekadar kejohanan di peringkat tempatan, sedangkan fokus utama Chong Wei adalah meraih gelaran lebih besar di peringkat antarabangsa.

"Chong Wei telah memenangi banyak kejohanan yang menimbulkan perasaan cemburu di kalangan rakan-rakannya di peringkat antarabangsa. Tetapi dia masih mahu menambah senarai kejuaraannya pada GP kebangsaan. "Inilah namanya semangat, walaupun ramai yang mengatakan beliau sepatutnya tidak perlu menyertai GP akhir dan memberikan peluang itu kepada pemain lain untuk menjuarainya, kita perlu memberi sokongan moral kepada Chong Wei.

"Apa yang beliau lakukan menjadi inspirasi kepada pemain-pemain lain dalam skuad kebangsaan sekarang," katanya.

Chong Wei diundi dalam kumpulan A daripada empat kumpulan yang melibatkan 16 pemain dalam perseorangan lelaki dalam kejohanan empat hari yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM84,000 dan juara perseorangan lelaki membawa pulang RM7,000.

Chong Wei akan bertemu tiga pemain di peringkat kumpulan iaitu pemain dari Pulau Pinang, Ho Khek Mong; Syed Akbar Shah Mustakim (Melaka) dan Mohd Arif Abdul Latif (Negeri Sembilan).

Setiap juara kumpulan akan melayakan diri ke peringkat separuh akhir dan antara pemain yang dijangka mara ke peringkat itu selain Chong Wei ialah Tan Chun Seang dari Kedah, Chan Kwong Beng (Perak) dan Kuan Beng Hong (Kedah).

Dalam kategori perseorangan wanita, pemain Kuala Lumpur, Lydia Cheah mengetuai saingan di sebalik ketiadaan Wong Mew Choo yang tidak dapat beraksi kerana tidak banyak menyertai sirkit tempatan untuk melayakan diri menyertai GP akhir.

Nasib sama turut diterima beregu utama negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan ini memberi peluang kepada pasangan veteran negara Choong Tan Fook-Lee Wan Wah menjadi pilihan pertama kejohanan manakala pasangan Mohd Faruzizuan Tazari-Mohd Zakry Latif sebagai pilihan kedua. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain