suria

Jangan Terlalu Ghairah Rebut, Lobi Dan Kempen Jawatan, Titah Presiden FAM

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah mengingatkan anggota-anggota gabungan FAM supaya tidak terlalu ghairah, melobi dan berkempen untuk merebut jawatan pada mesyuarat agung persatuan itu yang akan diadakan Jun ini.

"Calonkan dan pilihlah individu yang benar-benar ikhlas untuk mencurah khidmat atas nama pembangunan bola sepak negara dan bukan untuk agenda sendiri.

"Dengan pencapaian pingat emas di Sukan SEA Laos baru-baru ini, ramai pula hendak berlumba-lumba untuk merebut jawatan," baginda bertitah sempena mesyuarat eksekutif FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.

Baginda bertitah dan mengajak semua mengingati pemilihan pada 2007 apabila FAM terbahagi kepada beberapa kem dan usaha terang-terangan sesetengah pihak yang bercita-cita tinggi untuk menyusun kabinet mereka.

"Saya berharap pihak urusetia membuat persiapan yang rapi bagi memastikan mesyuarat agung nanti berjalan dengan teratur dan licin, saya tidak mahu insiden pemilihan 2007 berulang," titah baginda.

Pemilihan jawatan-jawatan utama FAM merupakan proses biasa yang diadakan setiap empat tahun dengan tempoh untuk sesi 2007-2010 berakhir pada Jun ini.

Sementara itu, Sultan Ahmad Shah turut terkilan dengan tindakan sesetengah pihak yang bertindak dengan membelakangkan FAM.

"Sudah banyak kali saya ingatkan agar kita mengambil tindakan dan keputusan berdasarkan prosedur yang ada. Malangnya ada pihak yang mengatur perlawanan membabitkan pasukan luar tanpa memaklumkan kepada FAM.

"Selain itu saya juga sedih dengan tindakan anggota gabungan menjual tiket menerusi konsep 'touch and go' walaupun ia kelihatan memudahkan peminat, kita ada perjanjian dan prosedur yang harus dipatuhi," titah baginda.

Baginda turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan terutamanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek kerana mewujudkan tabung Pelan Pembangunan Bola Sepak dengan dana sebanyak RM10 juta sebagai permulaan.

"Ini mencerminkan bahawa kerajaan masih menaruh kepercayaan kepada FAM dan bola sepak sebagai ejen menyatupadukan rakyat Malaysia selain mengiktiraf kejayaan skuad bawah 23 tahun kebangsaan di Sukan SEA Laos," titah baginda.

Skuad itu yang dibimbing K.Rajagobal berjaya menamatkan penantian 20 tahun negara untuk meraih pingat emas di Sukan SEA setelah kali terakhir meraihnya pada 1989. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Azizulhasni Kini Bergelar Suami

Artikel Lain