suria

Tiga Juara Dunia Sertai Terengganu World Jetrace Challengge

KUALA LUMPUR: Buat pertama kalinya, tiga juara dunia sukan Kraft Air (lebih dikenali sebagai jet ski) akan menyertai kejohanan Terengganu World Jetrace Challenge 2010 yang julung kalinya dianjurkan di Pulau Duyong, Kuala Terengganu dari 4 hingga 6 Februari ini.

Penganjur bersama kejohanan itu, Raja Putra Shah Raja Shahar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tropical Marine Resources berkata, tiga juara dunia itu ialah Amy Green yang merupakan juara dunia tiga kali dan juara 11 kali kejohanan Kebangsaan Amerika Syarikat, Chris Fish Fischetti yang pernah menjadi juara dunia tiga kali dan juara British Seth Wilkinson.

"Walaupun kejohanan The King Cup di Thailand telah diadakan sejak 14 tahun lepas, namun kejohanan itu jarang menarik penyertaan daripada juara dunia. Tetapi di Terengganu kita akan menyaksikan aksi tiga juara dunia bertanding," katanya.

Raja Putra Shah berkata, Malaysia merupakan negara kedua di rantau ini selepas Thailand yang menganjurkan kejohanan kraft air dunia.

Katanya, penganjur mensasarkan kira-kira 100 peserta terdiri daripada 60 peserta tempatan dan selainnya dari luar negara seperti dari Thailand, Serbia, Brunei, Indonesia dan United Kingdom.

Menurutnya, kejohanan ini adalah yang pertama dianjurkan di Malaysia walaupun sukan itu amat popular sebagai aktiviti rekreasi air di negara ini.

Beliau berkata, untuk memastikan kejohanan itu dianjurkan secara sah, beliau telah menubuhkan Kelab Sukan Kraft Air dua bulan lepas dan telah mendapat kelulusan daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan.

"Persatuan induk antarabangsa untuk sukan ini ialah International Jet Sports Boating Association (IJSBA) yang turut mengiktiraf kejohanan ini. Sebab itu tiga juara dunia akan bertanding di Terengganu," katanya.

Kejohanan tiga hari itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM87,500 yang mempertandingkan 10 kategori untuk pelumba profesional, rookie dan pelumba selebriti.

Raja Putra Shah berkata, kejohanan itu akan diadakan di kawasan trek air sejauh 1.15km di perairan Pulau Duyong dengan tiga tahap kesukaran iaitu watercross, closed course dan kraft air individu (PWC).

Menurutnya, kos minimum kraft air yang standard di pasaran berharga RM60,000 dan kos tambahan untuk mengubahsuai jentera itu untuk tujuan perlumbaan boleh mencapai RM40,000. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain