suria

Juara Dunia Hangatkan Saingan Regata Perdana 2010

LANGKAWI: Kehadiran juara dunia Keerati Bualoong dalam acara Laser Radial dan juara Optimist Eropah Carlos Robles Lorente akan menghangatkan saingan Regata Perdana Antarabangsa Langkawi 2010 yang bermula di sini esok.

Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA), Mohd Afendy Abdullah berkata, Keerati, pelayar Thailand, dan Lorente dari Sepanyol merupakan antara peserta yang akan memberi saingan kepada pelayar negara.

"Kami berpeluang melihat keupayaan pelayar asing dan bertaraf dunia ini serta dapat mengukur tahap persediaan pelayar negara," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Walaupun kehadiran pelayar jaguh, katanya, Malaysia tidak ketinggalan menurunkan pelayar berbakat seperti Kharulnizam Mohd Afendy, yang muncul juara acara Laser Radial pada Kejohanan Remaja Australia di Adelaide bulan lepas.

Ini adalah peluang terbaik Kharulnizam menebus kehampaan semasa bertanding pada Kejohanan Laser Radial Dunia 2009 di Jepun dengan menduduki tempat keempat di belakang juara Bualoong, katanya.

Selain Kharulnizam, pelayar elit negara Mohd Romzi Muhamad turut mengalas cabaran dalam acara tersebut. Beliau menduduki tangga kedua pada Kejohanan Kebangsaan Australia di Adelaide.

Mohd Afendy berkata Malaysia juga meletakkan sandaran pada pelayar berbakat, Nik Ashraf Qaedi Nik Azizan, dalam acara Laser Standard.

Di samping itu, pasukan negara juga mengharapkan persembahan cemerlang dari juara Optimist kebangsaan Ahmad Latif Ali Sabri Khan dan naib juara Optimist dunia Mohamad Faizal Norizan.

Bagaimanapun, penguasaan Thailand dalam acara Optimist pada kejohanan kali ini agak sukar berikutan ketiadaan pelayar handalan Noppakao Poonpat.

Nappakao, juara dunia dan pemenang dua pingat emas pada Kejohanan Optimist Asia IODA 2009 di sini Disember lalu, tidak dapat beraksi kerana terpaksa menduduki peperiksaaan.

Mohd Afendy berkata enam pelayar Orang Kurang Upaya (OKU) juga akan mengambil bahagian dengan menggunakan perahu layar khas disediakan oleh MYA.

Seramai 200 pelayar akan menyertai regata tersebut termasuk dari Singapura, Thailand, Myanmar, Indonesia, India, Belgium, Iran, Sepanyol, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Hong Kong. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain