suria

Kertas Kerja Program Pembangunan Bersama Everton FC Sedang Diperhalusi

KUALA LUMPUR: Kertas kerja berhubung program pembangunan bola sepak yang akan dijalankan bersama kelab Liga Perdana Inggeris, Everton FC sedang diperhalusi, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, pada prinsipnya, Everton FC merupakan pilihan tepat untuk memulakan pembangunan bola sepak negara secara menyeluruh di peringkat akar umbi kerana kelab itu dianggap memiliki program pembangunan bola sepak yang terbaik di England.

Beliau berkata, perbincangan menyeluruh melibatkan pihak seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kementerian Pelajaran Malaysia akan diadakan dalam masa terdekat bagi merangka program yang akan dijalankan bersama kelab terbabit.

"Semua kertas kerjanya telah siap, malah saya telah lihat dan semak, cuma ada beberapa perkara perlu diperhalusi lagi seperti penglibatan jumlah pemain serta kos," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahmad Shabery menegaskan bahawa pemain tempatan tidak semestinya menjadi yang terbaik dengan berlatih bersama kelab-kelab terkemuka.

"Ini kerana kelab-kelab itu mungkin menjadi terkemuka dan terbaik kerana membeli pemain-pemain dari kelab lain," katanya.

Mengenai nasib pasukan bawah 21 tahun kebangsaan atau Harimau Muda A, Ahmad Shabery berkata, beliau meminta perkara itu diselesaikan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Keputusan yang menjadikan Harimau Muda A di dalam keadaan sekarang adalah dibuat oleh FAM sendiri," katanya.

Skuad bimbingan jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah itu sebelum ini telah dinafikan hak untuk bermain di dalam saingan Liga Super musim ini walaupun menjuarai Liga Perdana pada tahun lepas.

Terbaru permohonan untuk menempatkan skuad itu bermain di dalam Liga Singapura turut ditolak sekaligus menyebabkan mereka tidak mempunyai sebarang pertandingan yang kompetetif untuk disertai kecuali perlawanan persahabatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Keputusan Serie A Itali

Artikel Berikut

Artikel Lain