suria

Mumtaz Jaafar Terajui Jawatankuasa Pembangunan Atlet Koam

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) hari ini memutuskan jawatankuasa kejurulatihan dan pembangunan yang sebelum ini dipegang oleh timbalan presiden, Karim Ibrahim dipisahkan menjadi dua jawatankuasa yang berasingan.

Presidennya Datuk Seri Shahidan Kassim berkata keputusan itu diambil oleh mesyuarat lembaga persatuan itu setelah membuat pertimbangan yang wajar. "Karim akan mengetuai jawatankuasa kejurulatihan manakala naib presiden, Datuk Dr Mumtaz Jaafar akan mengetuai jawatankuasa pembangunan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat lembaga KOAM petang ini.

Shahidan berkata perlantikan Mumtaz, bekas ratu pecut negara, adalah berdasarkan pengalamannya sebagai bekas atlet negara serta pencapaian yang sememangnya mempunyai kepakaran di dalam bidang itu. "Biarlah atlet yang menguruskan atlet, begitu juga Karim yang pernah menjadi jurulatih sebelum ini," katanya.

Shahidan berkata dengan wujudnya jawatankuasa pembangunan lebih banyak atlet-atlet pelapis akan dapat dikenal pasti melalui kejohanan-kejohanan yang dianjurkan di peringkat negeri dan lain-lain kejohanan.

Terdahulu KOAM turut mengadakan mesyuarat agung tahunannya dan Karim diumumkan secara rasmi menang tanpa bertanding dalam mengekalkan jawatan timbalan presiden yang disandangnya sejak 2008.

Selain itu, turut mengekalkan jawatan adalah R.Annamalai selaku naib presiden kerana tiada pencabar.

Tiga kekosongan lembaga eksekutif KOAM pula diisi oleh Mohamed Awang (naib presiden Kesatuan Olahraga Amatur Kelantan), S.Rajasegram (setiausaha Kesatuan Olahraga Amatur Johor) dan S.Govindaraju (setiausaha Kesatuan Olahraga Amatur Kedah) selepas menewaskan dua calon yang lain. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain