suria

Nasib Pemain Harimau Muda A Diketahui Sedikit Masa Lagi

PETALING JAYA: Nasib para pemain bola sepak Harimau Muda A akan diketahui dalam masa terdekat selepas hasrat untuk menyertai saingan Liga Singapura (Liga S) ditolak pada Isnin lepas, kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad.

Beliau berkata FAM mempunyai beberapa jalan penyelesaian tetapi perlu mendapat perkenan daripada Presiden FAM Sultan Ahmad Shah terlebih dahulu.

"Beri saya masa dalam sehari dua ini untuk menghadap Tuanku (Sultan Ahmad Shah) bagi menyelesaikan perkara ini," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini hari ini.

Azzuddin turut tidak menolak kemungkinan antara pilihan penyelesaian ialah melepaskan pemain-pemain bawah 21 tahun itu ke pasukan negeri masing-masing kerana FAM tidak mahu mereka berlatih sahaja tanpa sebarang pertandingan.

"Walaupun pendaftaran pemain-pemain baru untuk pasukan-pasukan yang bersaing di dalam Liga Malaysia hanya boleh dilakukan pada bulan Mei, terdapat pengecualian jika ia melibatkan soal pembangunan," katanya.

Azzuddin bagaimanapun menolak antara pilihan yang ada untuk skuad bimbingan jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah itu adalah bermain di dalam Liga Super dan liga-liga luar negara pada tahun ini.

Harimau Muda A selaku juara Liga Perdana pada musim lepas sepatutnya mendapat tempat secara automatik untuk bermain di dalam Liga Super pada musim ini, namun mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 7 Disember lepas menafikan hak itu.

Skuad itu kini hanya menjalani latihan dan beberapa perlawanan persahabatan di dalam negara.

Dalam perkembangan lain, Naib Presiden FAM Datuk Che Mat Jusoh, yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, berkata pertandingan Piala FAM pada tahun ini mungkin dibatalkan jika tidak mempunyai jumlah pasukan yang mencukupi.

"Kita memerlukan sekurang-kurangnya lapan pasukan yang bersaing dan kini hanya empat pasukan sahaja memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh FAM," katanya.

Che Mat berkata lapan pasukan lagi yang menyatakan minat untuk bertanding masih belum memenuhi syarat-syarat ditetapkan seperti pembayaran deposit sebanyak RM30,000.

"Kita memberi tempoh kepada lapan pasukan ini sehingga 8 Februari depan untuk memenuhi semua syarat-syarat yang telah ditetapkan. Sekiranya gagal mereka dianggap tidak layak," katanya. -

Artikel Lain