suria

Latihan Bersama Kelab Liga Inggeris Mungkin Tercapai - Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek semakin optimis dapat membawa skuad bawah 23 tahun negara berlatih di England tidak lama lagi.

Keyakinan itu ekoran kunjungannya ke England secara peribadi baru-baru ini dan berkesempatan mengunjungi sebuah akademi bola sepak di sana.

"Saya telah mengemukakan beberapa cadangan untuk menempatkan skuad bawah 23 tahun negara di England kepada presiden FAM (Persatuan Bola sepak Malaysia), Sultan Ahmad Shah.

"Perkara ini akan dibincangkan pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif FAM akan datang dan saya akan dapat maklum balas mengenainya dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu program "Sports on Traxx 101" di Wisma Radio, Angkasapuri, hari ini.

Menurut Ahmad Shabery, setelah mendapat keputusan itu, pihaknya akan merancang program pembangunan bola sepak negara dengan peruntukan RM10 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Sementara itu Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata perbincangan telah diadakan dengan kelab Inggeris, Everton FC berhubung pembangunan bola sepak peringkat akar umbi.

"Kita juga membuat permintaan untuk 'menumpangkan' skuad bawah 23 tahun kebangsaan di kelab itu," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya. Azzuddin yang turut bersama rombongan Ahmad Shabery ke England berkata menteri itu bagaimanapun mahu memperhalusi lagi cadangan tersebut kerana tiada guna jika pemain-pemain negara sekadar berlatih tanpa mempunyai pertandingan.

Azzuddin bagaimanapun turut mengakui masih belum ada perancangan yang jelas untuk membawa pemain-pemain bawah 23 tahun kebangsaan menjalani latihan di luar negara.

"Kita juga harus memperakui pemain-pemain ini mempunyai ikatan kontrak dengan pasukan-pasukan negeri dan kelab di mana komitmen itu perlu dihormati kerana saingan Liga Malaysia telah pun bermula. "Namun begitu kita masih meneruskan dengan perancangan awal untuk mengadakan latihan pusat pada setiap bulan," katanya.

Menjelaskan dengan lebih lanjut lawatan itu, Azzuddin berkata beliau mengikuti Ahmad Shabery melawat Everton Youth Academy dan banyak perkara yang boleh dipelajari daripada mereka.

"Mereka mempunyai program pembangunan yang baik bermula seawal pemain-pemain berumur lapan tahun lagi malah berjaya menghasilkan beberapa pemain yang bagus seperti penyerang England dan Manchester United, Wayne Rooney. "Jadi satu jawatankuasa bersama akan diwujudkan melibatkan KBS, Majlis Sukan Negara, Kementerian Pelajaran Malaysia dan FAM bagi meneliti program-program yang boleh dilaksanakan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain