suria

Selangor Kukuh Di Persada Liga Super

KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Selangor kekal di takhta Liga Super dan semakin menjarakkan diri daripada diekori rapat oleh pasukan di tangga kedua, Terengganu, selepas Red Giants membelasah Pahang 4-0 pada perlawanan di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Selangor kini memungut 12 mata selepas menang empat perlawanan sementara Terengganu kekal di tangga kedua selepas sekadar seri pada malam ini untuk mengutip lapan mata selepas menang dua dan seri dua perlawanan.

Gol-gol pasukan Red Giants dijaringkan oleh Safee Sali pada minit ke-34, Safiq Rahim (minit ke-55) sementara R.Surendran menjaringkan dua lagi gol pada minit ke-76 dan 83.

Di Kuala Terengganu, Terengganu terikat 1-1 dengan T-Team pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Ismail Nasiruddin.

Tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Abdul Manaf Mamat pada minit ke-71 sebelum T-Team menyamakan kedudukan menerusi Mohd Haris Safwan Mohd Kamal, lima minit kemudian. Di Seremban, Negeri Sembilan mencatat kemenangan pertama selepas mengatasi KL Plus 2-1 pada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Selepas terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, pasukan pelawat memecah kebuntuan apabila sepakan Nizaruddin Yusuf di luar kotak penalti menerjah jaring pada minit ke-71.

Namun Negeri Sembilan menyamakan kedudukan pada minit ke-83 menerusi tandukan Firdaus Azizul yang mendapat hantaran S. Kunalan.

Gol kemenangan Negeri Sembilan diperoleh menerusi Firdaus yang mendapat hantaran sepakan sudut K. Thanaraj pada minit ke-90.

Di Kota Baharu, Kelantan gagal memanfaatkan di padang sendiri apabila tewas 0-1 kepada Kedah pada perlawanan di Stadium Sultan Muhammed ke-IV. Gol tunggal Kedah itu dijaringkan oleh Azlan Ismail pada minit ke-41 ekoran kesilapan penjaga gol Syed Adney Syed Hussein yang gagal menahan bola yang terlepas dari kakinya dan kesempatan tersebut direbut oleh penyerang lawan berkenaan untuk membolosi gawang Kelantan.

Di Ipoh, tuan rumah Perak tewas 0-1 kepada Perlis pada perlawanan di Stadium Perak.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Azrul Ahmad yang menyempurnakan hantaran silang Mohd Badrol Azam pada minit ke-74.

Di Pulau Pinang, tuan rumah terikat 1-1 dengan Johor pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Batu Kawan.

Gol pertama perlawanan dijaringkan melalui sepakan kencang Mohd Failee Mohammad Ghazli pada minit ke-47 selepas kedua-dua pasukan gagal mencari jaringan awal.

Pasukan pelawat menyamakan kedudukan pada minit ke-87 hasil sepakan Mohd Irfan Ghani.

Di Pasir Gudang, Johor FC tumpas kepada Kuala Lumpur hasil jaringan Kuong Yong pada minit ke-18. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain