suria

Pemain Kelantan Diminta Perkemas Corak Permainan

KOTA BAHARU: Pemain Liga Super Kelantan perlu bermain dengan lebih baik kerana Kelantan tidak boleh lagi kehilangan mata apabila berdepan dengan lawan, kata jurulatih B. Sathianathan.

Kelantan hanya memungut satu mata dalam perlawanan malam tadi apabila seri tanpa jaringan dengan Perlis. Selepas tiga perlawanan setakat ini, pasukan Red Warriors ini hanya mengumpul lima mata.

"Saya telah beritahu pemain bahawa perlawanan dalam Liga Super bukan mudah. Saya gembira dengan permainan pemain pertahanan tetapi kita perlu memperbaiki penyudah kita kerana kita mencipta banyak peluang baik untuk menjaring gol ketika menentang Perlis.

"Kita perlu lebih banyak membuat pergerakan dan agresif di hadapan gol lawan. Sesetengah pemain perlu memperbaki permainan mereka jika mahu terus kekal dalam kesebelasan utama," katanya kepada Bernama.

Dalam perlawanan seterusnya menentang Kedah pada Selasa, Sathianathan mengingatkan para pemain bahawa ia bukan mudah.

Katanya pasukan Kedah adalah seimbang dengan memiliki pemain berpengalaman yang mewakili pasukan kebangsaan dan juga bekas pemain kebangsaan.

"Mereka mempunyai pemain berkualiti dan saya percaya mereka berupaya untuk memberi saingan jika kita mengambil mudah ketika menentang mereka," katanya.

Beliau berkata pemain tengah Mohd Norfarahan Mohamad terpaksa melalui ujian kecergasan esok bagi menentukan sama ada beliau boleh bermain ketika menentang Kedah.

Pemain pertahanan Zairul Fitree Ishak pula baru sembuh dari sakit dan dijangka cergas tidak lama lagi, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain