suria

Lapan Belas Pasukan Sah Sertai Regata Perdana Langkawi 2010

LANGKAWI: Sebanyak 200 pelayar dari 18 pasukan termasuk dari luar negara mengesahkan menyertai Regata Perdana Langkawi 2010 di Kompleks Latihan Perahu Layar Kebangsaan Langkawi di sini mulai 27 hingga 31 Januari ini.

Presiden Persatuan Perahu Layar Kedah (PPLK), Datuk Paduka Abu Bakar Taib berkata antara negara itu ialah Singapura, Thailand, Myanmar, Indonesia, India, Belgium, Iran, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Hong Kong selain tuan rumah Malaysia.

Singapura menghantar peserta teramai dengan 70 pelayar, kata Abu Bakar yang juga anggota Parlimen Langkawi kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, regata itu yang merupakan pembuka tirai sirkit kebangsaan Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) mempertandingkan kategori Optimist, Laser, 420, 470, Byte dan Wind Surfing.

Katanya pelayar kebangsaan Khairulnizam Mohd Afendy yang baru mengungguli kategori Laser Radial pada Kejohanan Remaja Australia di Adelaide baru-baru ini adalah antara 25 pelayar negara yang akan membawa cabaran Malaysia pada regata itu.

Jurulatih kebangsaan Abdul Rani Idris pula berkata pelayar Malaysia perlu diberi pendedahan lebih luas dalam menghadapi tiupan angin kencang 20 knot ke atas.

Katanya ini kerana pada Kejohanan Pelayaran Kebangsaan Australia di Adelaide, pelayar negara sering menghadapi masalah dalam keadaan angin sedemikian.

Perbincangan dengan MYA akan diadakan untuk menyusun program latihan sebelum dikemukakan kepada Majlis Sukan Negara (MSN), katanya.

Beliau berkata skuad pelayar negara dicadang menyertai Kejohanan United Kingdom dan Jerman pada Mei dan Jun selain menjalani latihan di Auckland, New Zealand pada Ogos dan September sebelum menyertai Sukan Asia 2010 di China pada November. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain