suria

Pasukan 'Evolution Racing' Dan 'Hi Fi' Berkongsi Kedudukan Pendahulu RLIR 2010

LANGKAWI: Kapal layar dari Australia 'Evolution Racing' dan pasukan Hi Fi dari New Zealand berkongsi kedudukan pendahulu pada hari keempat Regata Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2010 di Royal Langkawi Yacht Club (RLYC) di sini hari ini.

Selepas tujuh perlumbaan, kedua-dua pasukan itu mengumpul sembilan mata manakala kapal layar dari Hong Kong, 'Jelik' di tempat ketiga dengan 15 mata dan pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia,'Zuhal' yang diketuai oleh Mohd Razali Mansor keempat dengan 22 mata.

Menjelang perlumbaan terakhir esok, krew dan jurumudi pasukan Evolution Racing dan Hi Fi pastinya akan mempamerkan aksi terbaik untuk memburu kemenangan sekaligus menjuarai kejohanan kapal layar berprestij itu tahun ini.

Segala-galanya bergantung kepada prestasi keseluruhan krew pasukan dan pengalaman jurumudi pasukan masing-masing untuk menjadi penentu kejuaraan.

Pengatur taktik, Kevin Costin yang mengemudi Hi Fi sejak daripada hari pertama perlumbaan selepas Neil Pryde yang juga pemilik dan jurumudi berpengalaman pasukan itu tidak dapat menyertai pasukannya, dijangka akan kembali bersama-sama krew pasukan itu untuk menghadapi perlumbaan terakhir esok.

Kehadiran semula Pryde dijangka memberi cabaran getir buat pasukan Evolution Racing yang dikemudi oleh Ray Roberts yang pernah mengetuai pasukan Quantum Racing yang mengungguli kejuaraan kelas IRC Racing selama empat tahun berturut-turut.

Keadaan cuaca yang baik dan angin yang bertiup pada kelajuan kira-kira 15 knot yang sememangnya ideal untuk sukan layar hari ini membuatkan penganjur lega dan berharap kelajuan tiupan angin yang sama esok.

Berdasarkan keputusan hari ini, beberapa pasukan yang bertanding di dalam kelas-kelas perlumbaan yang berbeza dijangka tidak menghadapi sebarang masalah untuk bergelar juara selepas meninggalkan pencabar masing-masing dengan jurang mata yang amat ketara.

Pasukan terbabit ialah Phoenix (Kelas IRC 1), RQYS (Sports Boats) dan Astra (Ocean Rovers) manakala dalam kelas-kelas yang lain peluang masih terbuka untuk semua pasukan.

RLIR 2010 menarik penyertaan pasukan dari Australia, Hong Kong, New Zealand, Belanda, United Kingdom, Amerika Syarikat, Norway, Afrika Selatan, Jerman, Singapura dan Malaysia. -BERNAMA

Artikel Lain