suria

Kelantan Mampu Tewaskan Perlis: Sathianathan

KOTA BHARU: Ketua Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan yakin skuad kendaliannya mampu meraih tiga mata penuh apabila turun menentang Perlis di gelanggang lawan dalam perlawanan Liga Super, Selasa depan.

Katanya, kejayaan itu mampu dicapai jika skuad itu mampu mempamerkan persembahan cemerlang seperti mana ketika menentang Johor di gelanggang sendiri yang berkesudahan 3 gol tanpa balas di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV di sini, malam tadi.

"Jika kesebelasan utama berjaya mengulangi permainan cemerlang seperti malam tadi, tidak mustahil kita akan berjaya mengulangi kejayaan ketika menentang Perlis nanti," katanya.

Pada pertemuan itu, Kelantan berjaya mempamerkan persembahan bertenaga dengan membelasah Johor 3-0 untuk menduduki tangga kedua liga di belakang Selangor, manakala Perlis membenam Kedah di gelanggang lawan 1-0.

Menurut Sathianathan, dia amat berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan kesebelasan anak buahnya malam tadi.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Johor, Datuk Aziz Sepian yang ditemui malam tadi mengakui kelebihan Kelantan dalam menunjukkan permainan cemerlang ditambah sokongan moral penonton sendiri.

Aziz mengakui hampir keseluruhan pemain Johor adalah pemain muda yang baru diturunkan dalam kempen Liga Super musim 2010 ini. - BERNAMA

Artikel Lain